Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – “Keep it up. Good job everyone,” ucap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun kepada 811 petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Dalam ucapan terima kasihnya itu, beliau berpuas hati dengan prestasi kerja yang dijalankan semua petugas SPR sehingga keputusan dapat diumumkan dengan cepat.

“Terima kasih kepada 811 pertugas PRK Cameron Highlands dan semua warga SPR serta Sekretariat SPR kerana telah menjayakan PRK ini dengan jaya.

“Keputusan dapat diumumkan dengan amat cepat dan semuanya berjalan lancar. Saya terhutang budi,” katanya menerusi hantaran ringkas dalam Twitter beliau hari ini.

Dalam PRK Cameron Highlands semalam, calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor diumumkan memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,238 undi.

Kemenangan calon BN itu diumumkan Pengurus SPR, Datuk Ishak Md Nafis pada jam 8.28 malam di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah.

Ramli, memperoleh 12,038 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi.

Sementara itu, dua calon bebas, Sallehuddin Ab Talib yang menggunakan simbol buku memperoleh 314 undi dan Wong Seng Yee mendapat 276 undi.

Sebelum ini, SPR menjangkakan dapat mengumumkan keputusan pada jam 10 malam, berikutan kedudukan peti undi yang jauh dari pusat penjumlahan undi. – MalaysiaGazette