Bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA TERENGGANU – Sebuah syarikat jualan langsung yang menawarkan produk penapis air dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu kerana ejen syarikat itu didakwa menipu pelanggan.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, terdapat tiga aduan daripada pengguna dengan dua daripadanya membabitkan kegiatan ejen syarikat yang memperdaya pelanggan dengan mendakwa produk akan diberi secara percuma.

Beliau berkata pengadu hanya menyedari mereka ditipu apabila menerima panggilan telefon daripada syarikat berkenaan yang meminta mereka menjelaskan tunggakan bil ansuran selama empat bulan berjumlah kira-kira RM945.

“Ejen itu telah beberapa kali ke rumah pengadu untuk mempromosi produk mereka tetapi tidak dilayan. Oleh itu mereka (ejen) menukar modus operandi dengan menawarkan produk secara percuma kepada pelanggan untuk menarik minat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, aduan lain yang diterima pula mendakwa ejen syarikat itu telah menyalahguna salinan kad pengenalan dan penyata bank pengadu untuk tujuan memberikan produk kepada orang lain.

Beliau berkata, perkara itu juga hanya disedari pengadu selepas menerima surat tunggakan bayaran daripada syarikat berkenaan.

“Kesalahan ini adalah kesalahan jenayah dan selepas menerima aduan kami menjalankan serbuan terhadap pusat operasi syarikat berkenaan di Kuala Nerus pada 14 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat banyak kesalahan yang melanggar Seksyen 25(5) Akta Jualan Langsung & Skim Anti Piramid 1993, Seksyen 6(4) Akta Jualan Langsung & Skim Anti Piramid 1993, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan pertama,” katanya.

Hasil pemeriksaan itu turut menemui lima produk penapis air yang tidak mendapat kelulusan KPDNHEP turut dijual kepada orang ramai.

Susulan itu, pihaknya telah menyita barang-barang itu bersama dua barang pengadu yang bernilai RM19, 460 untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette