Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media Festival Belia #Bando Muo 2019 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah memberikan persetujuan kepada Jawatankuasa Para Antarabangsa (IPC) untuk membenarkan atlet Israel memasuki negara ini pada dua tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq berkata, perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan IPC berhubung penarikan balik kelayakan penganjuran kejohanan renang paralimpik antarabangsa di Malaysia.

“Saya agak musykil kenyataan yang dikeluarkan oleh IPC. Mereka memaklumkan dalam satu perenggan bahawa pada tahun 2017, ada persefahaman dengan kerajaan sebelum ini bahawa untuk membenarkan dan tiada prasyarat membenarkan atlet Israel untuk masuk ke negara ini.

“Rakan media boleh tanya apa pendirian kerajaan terdahulu mengenai isu ini,” katanya kepada media dalam majlis pelancaran Festival Belia Bando Muo di pejabatnya hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan ketika itu diterajui Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

IPC sebelum ini memutuskan Kuala Lumpur hilang kelayakan untuk menganjurkan Kejohanan Renang Dunia Para 2019 susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melarang atlet Israel daripada bertanding.

Kejohanan tersebut, suatu pertandingan kelayakan untuk Paralimpik Tokyo 2020, telah dijadualkan berlangsung di Kuching antara 29 Julai dan 4 Ogos 2019.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang tetap tegas dengan pendiriannya terhadap pendekatan yang diambil ke atas Israel.

Kata beliau, setiap negara mempunyai hak untuk membenarkan atau menghalang sesiapa pun memasuki wilayah mereka dan begitu juga pendirian Malaysia.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, negara berpegang kepada prinsip kemanusiaan kepada masyarakat Palestin yang ditindas daripada taksub membawa masuk rakyat Israel ke negara ini.

“Pendirian kerajaan PH agak jelas bahawa prasyarat itu adalah tidak boleh ada kemasukan atlet daripada negara Israel yang menggunakan pasport negara itu.

“Semua persatuan sukan telah ambil maklum mengenai isu ini. Prasyarat itu jelas dan kita ikut perkara itu.

“Ini berdasarkan kepada semangat perikemanusiaan yang lebih fokus dan kita tiada hubungan rasmi dengan Israel,” katanya lagi.

Sekiranya penganjuran itu berlangsung, sejumlah 600 perenang dari 60 negara dijangka bersaing dalam kejohanan di Sarawak, dengan lebih daripada 160 pingat untuk menajdi rebutan. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan