KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) menandatangani Perjanjian Sefahaman dengan Samyang Foods Co. Ltd. (Samyang Food) untuk membina kemudahan pengeluaran Ramen halal di Malaysia bagi pasaran tempatan dan global.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzillah Hassan berkata, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada hala tuju strategik syarikat untuk mengembangkan perniagaan hiliran dengan mempelbagaikan penawaran produk dan menembusi pasaran baharu.

Sektor Perniagaan Logistik dan Sokongan FGV (LSB) juga akan mendapat manfaat daripada perkongsian ini dengan menyediakan penyelesaian rantaian bekalan logistik.

Katanya, pasaran makanan halal merupakan segmen yang menyaksikan pertumbuhan pantas dalam industri makanan dan dijangka mencecah lebih AS$740 bilion pada tahun 2025.

Sebagai tambahan kepada kemudahan itu di Malaysia, kerjasama itu akan memberi FGV akses kepada rantaian nilai Samyang Food termasuk minyak masak, lelemak sayuran dan gula bagi kilang Ramen di Wonju, Korea Selatan.

Samyang Foods adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di Korea Selatan dan disenaraikan di Bursa Saham Korea dengan modal pasaran semasa sebanyak KRW459.514 bilion (kira-kira RM1.68 bilion).

Syarikat ini dalam perniagaan pembuatan dan penjualan pelbagai produk makanan seperti ramen, makanan ringan, produk tenusu, saus, dan dumpling beku.

Produk Ramen keluaran Samyang Foods menjadi semakin popular di pasaran Asia, Eropah, Oceania, Timur Tengah, Amerika Utara dan Amerika Selatan dan telah menjual lebih 400 juta bungkusan pada tahun 2017.

Anak syarikat milik penuh FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP) yang meneraju perniagaan hiliran kumpulan boleh memanfaatkan rangkaian penyelidikan dan pembangunan dalam Samyang Foods serta rangkaian pengedaran global untuk meningkatkan kualiti dan memperluas jangkauan produk SAJI secara serantau dan global.

Di samping itu, DOP akan mendapat manfaat daripada pengalaman Samyang Foods selama lebih dari 50 tahun di Ramen dan industri mi segera untuk mengukuhkan produk dan kedudukan jenama mereka sendiri. – MalaysiaGazette