Dua kanak-kanak orang asli berdiri dipintu rumahnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pos Terisu, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands telah membuka mata ramai pemimpin termasuk melihat kegagalan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memainkan peranannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata, para pemimpin termasuk menteri telah turun ke perkampungan Orang Asli semasa kempen pilihan raya dan melihat sendiri bagaimana Barisan Nasional (BN) masih berpengaruh di situ.

“Mereka kini tahu bahawa Jakoa, sebuah agensi Persekutuan, tidak memainkan peranan sepatutnya selama ini, malahan ia dikuasai BN sehingga menjadi jentera BN dalam PRK ini,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Yoke Kong juga kecewa kerana masyarakat Orang Asli masih berdepan isu kemudahan infrastruktur walaupun Jakoa mendapat peruntukan yang besar setiap tahun.

Beliau bagaimanapun bersenang hati kerana melalui PRK, orang ramai mula sedar bahawa Cameron Highlands berdepan pelbagai masalah dan isu di sebalik popularitinya sebagai destinasi pelancongan.

Katanya lagi, sokongan pengundi Melayu kepada PH kekal pada 10 peratus dan PH gagal merampas pengundi yang menyokong Pas pada tahun lalu.

“Keadaan ini berlaku kerana sejak kempen bermula lagi, UMNO telah mensensasikan isu membabitkan anggota bomba yang terkorban dalam isu agama Hindu di Selangor.

“Oleh itu, PH tidak akan menyalahkan pengundi Melayu yang tidak menyokong kami,” katanya.

Untuk mengekalkan kuasa politik pada masa depan,  Yoke Kong berkata, PH mesti mendepani pengaruh UMNO-Pas selain mengatasi masalah yang membelenggu warga Felda.

Tinggalkan Jawapan