Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Pembentukan wilayah Bangsamoro ini akan dapat menangani masalah keganasan yang menimpa kepada umat Islam di selatan Filipina yang telah berlangsung selama berdekad-dekad, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, suasana aman di selatan Filipina akan membolehkan umat Islam memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

Ia juga akan membuka jalan kepada perlaksanaan program-program ekonomi yang dirancang bawah Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-The Philippines – East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA), yang mana Malaysia merupakan salah satu negara terlibat dalam Wilayah Pertumbuhan ASEAN Timur.

“Saya telah hadir bersama mesyuarat BIMP-EAGA di Negara Brunei Darussalam pada bulan November lalu dan tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat BIMP-EAGA dan saya akan mempengerusikan mesyuarat ini.

“Tekad umat Islam selatan Filipina memilih perdamaian, keamanan dan pembangunan. Perkembangan ini akan menjadi rangsangan kepada pelaksanaan program-program bawah BIMP-EAGA,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau memberi kenyataan itu susulan majoriti besar umat Islam di selatan Filipina telah menyokong pembentukan wilayah Bangsamoro di selatan Mindanao.

Ini merupakan kali pertama seramai 2 juta umat Islam di selatan Filipina membuang undi untuk membentuk sebuah wilayah autonomi itu,

Pembentukan wilayah tersebut menggantikan wilayah yang lebih kecil yang sebelum ini dinamakan Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM).

Azmin menyifatkan keputusan referendum ini meskipun tidak rasmi merupakan suatu perkembangan yang memberangsangkan bukan sahaja untuk umat Islam Filipina bahkan juga untuk Malaysia dan Asia Tenggara.