Timbalan Pengerusi Barisan Nasional yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hassan bercakap pada sidang media Pengumuman calon BN bagi PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – UMNO mengutuk dan menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas  bertanggungjawab penuh berhubung kegagalannya dalam isu tribunal khas enam pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Presiden yang memangku tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menganggap keputusan itu satu perkara yang sangat memalukan.

“Kegagalan Peguam Negara ini telah menyebabkan tribunal yang ditubuhkan tersebut sekadar bersifat akademik, sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif. Malah ia menyebabkan berlakunya pembaziran masa dan sumber negara.

“Lebih penting, kegagalan Peguam Negara menasihati Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan seterusnya Yang Dipertuan Agong (YDPA), pastinya mencemarkan nama baik institusi Peguam Negara, Istana Negara dan kerajaan secara keseluruhannya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad,  kerajaan bukan sahaja dilihat mengambil tindakan yang sia-sia tetapi tidak peka dengan fakta semasa apabila tetap meneruskan prosiding tribunal tersebut sekalipun selepas enam pesuruhjaya SPR yang terlibat telah meletak jawatan.

Tahun lalu, Tommy  telah menasihati Perdana Menteri, seterusnya YDPA keperluan menubuhkan sebuah Tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam pesuruhjaya SPR dalam mengendalikan PRU-14 dan jJika didapati bersalah, mereka berenam boleh dilucutkan jawatan.

Atas nasihat Peguam Negara, tribunal ini ditubuhkan oleh kerajaan.

Malangnya, Peguam Negara kemudiannya terlepas pandang atau gagal memberikan nasihat  yang tepat kepada PM dan YDPA selepas keenam-enam pesuruhjaya yang dinamakan itu sudah meletakkan jawatan.

Beliau tidak segera mengambil tanggungjawab untuk memaklumkan perubahan yang berlaku dan fakta mereka yang disiasat telahmeletak jawatan sekali gus menyebabkan tribunal tersebut sudah tidak diperlukan.

“Harus diingatkan, tugas Peguam Negara bukan sahaja memberi nasihat berkaitan undang-undang tetapi memastikan nasihat yang diberikan itu terus sesuai, tepat dan praktikal dengan konteks semasa.

“Jika berlaku sebarang perubahan fakta, menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk memaklumkan perkara tersebut kepada negara, kepada YDPA dan kepada pihak yang berkaitan,” kata Mohamad.-MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/01/28/peguam-bekas-anggota-spr-cadang-saman-ag/