Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 OGOS 2018.
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan dinasihatkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak membuat kenyataan berkenaan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) buat masa ini.

Lim Guan Eng dalam masa yang sama meminta semua pihak menunggu untuk kenyataan rasmi berhubung projek itu.

“Saya telah berjumpa dengan Dr Mahathir pagi ini dan beliau telah menasihatkan saya untuk tidak mengeluarkan sebarang pengumuman buat seketika.

“Sebaik kita sedia (untuk buat pengumuman), kita akan maklumkan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Terbaru Dr Mahathir berkata, projek ECRL akan menambah hutang negara sekiranya diteruskan.

Semalam beliau mengakui kerajaan Pakatan Harapan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan termasuklah isu ECRL.

Ia susulan daripada pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali minggu lalu yang mendedahkan mesyuarat kabinet terkini memuktamadkan untuk membatalkan projek itu.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan