Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah buat hari ketiga berturut-turut hari ini susulan tekanan jualan berterusan dikebanyakan kaunter berkaitan indeks ekoran sentimen belian yang lemah serta prestasi serantau yang bercampur-campur, kata peniaga.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,684.11, susut 0.37 peratus atau 6.30 mata pada Rabu berbanding 1,690.41 pada penutupan Selasa.

Indeks bergerak antara 1,681.57 dan 1,691.23 di sepanjang hari selepas dibuka 0.72 mata pada 1,689.69.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 424 berbanding 320, manakala 371 kaunter tidak berubah, 810 tidak diniagakan dan 102 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.91 bilion saham bernilai RM1.73 bilion berbanding 2.23 bilion saham bernilai RM2.03 bilion semalam.

Ketua penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata prestasi yang lemah di Bursa Malaysia hari ini dikaitkan dengan faktor luar, terutama dari Amerika Syarikat.

“Rizab Persekutuan AS telah mengeluarkan sekuriti yang disokong gadai janji beberapa bilion dolar daripada lembaran imbangan mereka, dan ini akan menyebabkan pasaran merasakan impak tindakan kawalan kewangan itu, yang mungkin juga menjejaskan pasaran global yang lain, termasuk Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata pendapatan rendah yang diumumkan oleh sesetengah syarikat tersenarai hari ini termasuk Bursa Malaysia Bhd, Lotte Chemical Titan Holding Bhd dan Westports Holdings Bhd, juga tidak menyediakan rangsangan kepada bursa tempatan.

“Ini bukan permulaan yang baik untuk tahun ini, namun kami berharap akan ada perubahan sentimen dalam keputusan bermusim syarikat memandangkan keputusan terdahulu juga kurang memberangsangkan.

“Dalam jangka terdekat, kita melihat FBM KLCI akan boleh bergerak jajaran kecil memandangkan penilaian nisbah harga kini terperangkap dalam jajaran yang sempit, dengan setiap kali indeks mencapai paras siling, ia gagal untuk melepasinya dan berkemungkinan besar untuk turun dan turun naik,” kata Pong.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank turun sembilan sen kepada RM9.60, Public Bank meningkat dua sen kepada RM24.82, TNB susut 36 sen kepada RM13.14, Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM8.33 manakala CIMB susut satu sen kepada RM5.66.

Bagi saham aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 27 sen, Bumi Armada turun setengah sen kepada 20.5 sen dan Iris susut setengah sen kepada 13 sen.

Indeks FBM Emas merosot 45.58 mata kepada 11,657.12, Indeks FBMT 100 susut 47.75 mata kepada 11,543.31 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 55.71 mata kepada 11,536.00.

FBM 70 merosot 75.99 mata kepada 13,790.81 namun Indeks FBM Ace meningkat 14.73 mata kepada 4,376.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 57.63 mata kepada 17,564.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.56 mata kepada 159.96 dan Indeks Perladangan merosot 15.33 mata kepada 7,248.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.32 bilion saham bernilai RM1.61 bilion, berbanding 1.58 bilion saham bernilai RM1.92 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 333.37 juta unit bernilai RM70.65 juta berbanding 360.67 juta unit bernilai RM73.36 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 257.94 juta saham bernilai RM43.57 juta berbanding 279.63 juta saham bernilai RM33.51 juta yang dicatatkan pada Selasa.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 244.53 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (194.10 juta), pembinaan (93.29 juta), teknologi (112.73 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.96 juta) 54.35 juta), perladangan (22.10 juta), REIT (16.09 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (434.98 juta), penjagaan kesihatan (30.61 juta), telekomunikasi dan media (31.67 juta) dan utiliti (17.34 juta). – MalaysiaGazette