Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu telah memutuskan untuk menamatkan kontrak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi perbincangan sekian lama sejak Pilihan Raya Umum 2018.
Peta laluan ECRL yang dikatakan melibatkan kos berpuluh bilion ringgit.
SHAH ALAM – Kerajaan dicadang supaya tidak terlalu membangkitkan apa-apa perkara mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia melibatkan hubungan bilateral yang disifatkan sebagai ‘rumit’.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata disebabkan itu, sebarang isu termasuk rundingan berkaitan projek tersebut disarankan supaya tidak sentiasa dimaklum atau didedahkan kepada media massa.

“Bilateral ini sangat rumit kerana ia melibatkan banyak isu. Apabila kita berurusan dengan negara lain, ia tidak boleh didedahkan kepada media, ia sangat sensitif. Oleh itu kita (kerajaan) perlu berunding dan melakukan semuanya secara senyap.

“…(Kita) agak diplomasi dan media tidak harus menekan kerajaan. Ketika kesalahan kecil dibuat, ia akan jadi lebih sensitif,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu jemputan program Luncheon Talk: Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan di Universiti Teknologi Mara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang memberitahu keputusan akhir mengenai projek ECRL belum dibuat dan masih dalam proses rundingan.

Memberi contoh dirinya yang pernah mengendalikan projek melibatkan hubungan bilateral sekitar tahun 80-an dan memahami kesukarannya, Daim menasihatkan mana-mana menteri terlibat supaya sentiasa berbincang bagi mengelakkan sebarang kesilapan semasa memberi kenyataan kepada media.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pandangan peribadinya terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masuk bulan kelapan mentadbir negara, bekas menteri kewangan itu yakin barisan Kabinet boleh melakukannya dengan lebih baik lagi.

Disebabkan itu kata beliau, adalah lebih baik jika kerajaan PH ‘tinggalkan’ sementara isu-isu berkaitan politik sebaliknya menumpukan kepada langkah untuk menunaikan segala janji kepada rakyat yang dibuat sebelum menang Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lepas.

“Proses pembelajaran sudah berakhir, sekarang adalah masa untuk dilaksanakan. Mereka mesti menghormati janji mereka dan ia boleh dilakukan sekiranya wujud perpaduan, bekerjasama dan berkhidmat demi rakyat dan negara.

“Setiap orang (kerajaan PH) mesti bersama-sama sebagai satu pasukan. (Sekarang) masa untuk menyampaikan, kerana rakyat sedang memerhati.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN: ECRL: Sebelum ini sudah ada ketetapan, tapi sekarang ada perubahan – Tun M