Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak (FA) England sebagai langkah peta hala tuju FAM 2019-2030.

Menerusi kenyatan FAM berkata, pertemuan itu berlangsung di Stadium Wembley, semalam.

Menurut FAM, antara inti pati pertemuan itu ialah mengenai kemungkinan kerjasama jangka panjang kedua-dua persatuan yang merangkumi aspek teknikal dan akar umbi, pembangunan pengadil serta tanggungjawab sosial.

“FAM turut berbincang mengenai peluang untuk belajar daripada The FA berhubung pembangunan pusat latihan kebangsaan yang menjadi sebahagian perancangan FAM dalam beberapa tahun mendatang ini.

“Pertemuan dengan The FA ini adalah salah satu usaha FAM untuk menjalin kerjasama dengan persatuan bola sepak antarabangsa tertentu dari seluruh dunia dalam membantu FAM memajukan bola sepak di Malaysia dan pada masa sama dapat merealisasikan sasaran yang ditetapkan dalam F:30,” katanya.

Dalam pertemuan itu, The FA diwakili Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Korporat, Robert Sullivan; Pengarah Perhubungan Perlawanan Profesional, Andy Ambler dan Ketua Perhubungan Antarabangsa, Jane Bateman.

Manakala, delegasi FAM pula terdiri daripada Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam; Exco, Md Dali Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil serta Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha.

Turut serta pada pertemuan itu wakil daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Shazli Shaik Mohd. – MalaysiaGazette