Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia setelah pihak kerajaan gagal memberi jaminan bahawa perenang Israel boleh mengambil bahagian dalam keadaan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

KUCHING – Pembatalan hak penganjuran Malaysia untuk Kejohanan Renang Para Dunia 2019 telah memberi tamparan kepada pelbagai sektor di Sarawak, dengan kerugian sekurang-kurangnya RM5 juta direkodkan.

Setiausaha Agung Persatuan Hotel Malaysia, cawangan Sarawak, John Teo berkata, industri perhotelan sahaja telah kehilangan sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

“Walaupun pertandingan hanya berlangsung selama seminggu, tetapi para atlet dan jurulatih biasanya akan berada di Sarawak lebih lama.

“Mereka biasanya akan sampai lebih awal untuk tujuan latihan dan terus berada di Sarawak selepas pertandingan untuk tujuan pelancongan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, selain industri perhotelan, syarikat penerbangan, industri makanan, pengangkutan, malahan pusat membeli-belah juga menerima tempiasnya.

Pihak persatuan, kata John, bagaimanapun tidak mampu berbuat apa-apa walaupun menerima aduan daripada ahli.

“Isu ini membabitkan polisi kerajaan dan faktor dasar luar,” katanya menambah, dua tahun persediaan telah dilakukan untuk menjayakan temasya sukan itu.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia setelah pihak kerajaan gagal memberi jaminan bahawa perenang Israel boleh mengambil bahagian dalam keadaan selamat dan bebas daripada diskriminasi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan