Sebahagian orang ramai beratur bagi membuang undi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Jenis Kebangsaan China Bertam Valley, Cameron Highlands, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – MCA menganggarkan sebahagian pengundi Cina telah kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang berlangsung baru-baru ini.

Setiausaha Agung MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun bagaimanapun mengakui keadaan itu berlaku secara kecil-kecilan iaitu pada kadar lima hingga enam peratus.

Beliau berkata, selain faktor undi Cina, kemenangan Barisan Nasional (BN) disumbangkan oleh sokongan Pas selain peratusan keluar mengundi yang rendah.

“Walau bagaimanapun, yang menang itu janganlah terlalu berasa bangga dan syok sendiri kerana persaingan masih berterusan,” katanya kepada Sinchew Daily.

BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti lebih besar dalam PRK yang diadakan pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, seorang kolumnis Sinchew Daily, Liew Wui Chern berkata, PRK Semenyih di Selangor, dan bukannya Cameron Highlands, merupakan tempat yang akan betul-betul menguji keberkesanan kerjasama UMNO-Pas.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana Semenyih yang merupakan kawasan separa bandar telah dimenangi dengan majoriti agak selesa oleh Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum tahun lalu.

“Jika kerjasama Pas-UMNO betul-betul berkesan, maka undi bumiputera pasti akan berpihak kepada Pas atau UMNO dalam PRK Semenyih.

“Dengan lain kata, hasil PRK Semenyih akan menentukan hala tuju masa depan kerjasama Pas-UMNO,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerjasama UMNO dan Pas dalam PRK Semenyih akan lebih menyeluruh.

Ismail Sabri berkata, kerjasama UMNO dan Pas dalam PRK di Sungai Kandis dan Seri Setia sebelum ini hanya tertumpu kepada program bersama sahaja.

Bagi PRK Semenyih, kedua-dua parti yang berteraskan Melayu Islam itu akan mewujudkan jawatankuasa bersama yang dianggotai kepimpinan negeri bagi menyelaras gerak kerja bagi menentang calon PH. – MalaysiaGazette