Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran. foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2019
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran. foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Cameron Highlands tetap milik MIC walaupun kini kawasan tersebut diwakili, Ramli Mohd Nor, kata Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran hari ini.

Katanya, kerusi itu hanya dipinjamkan kepada UMNO untuk meletakkan calon Orang Asli sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada 26 Januari lalu.

“Kerusi itu tetap milik MIC, kita hanya meminjam kerusi itu kepada UMNO dan BN berjaya mempertahankannya buat kali kelima berturut-turut sejak 2004 lagi.

“Walaupun kali ini kami tak letakkan calon India dan pinjam kerusi, masih berjaya dapat sokongan pengundi India 40 peratus dan itu satu kejayaan juga untuk MIC.

“Dengan semangat ini MIC akan tetap meletakkan calon kami mewakili BN di situ (Cameron Highlands) pada PRU15 nanti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MIC Pusat di sini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu untuk membincangkan isu dalaman parti termasuk pasca PRK Cameron Highlands.

Dalam perkembangan berkaitan, Vigneswaran berkata, MIC akan menurunkan jentera yang boleh berbahasa Mandarin untuk mendekati pengundi Cina.

Ditanya mengenai PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 2 Mac ini, beliau berharap UMNO akan menurunkan calon terbaik yang boleh mewakili suara rakyat.

“UMNO dan BN mengatur formula dan strategi terbaik dan menang kerusi Cameron Highlands, maka saya berharap taktik sama UMNO laksanakan di sini pada penamaan calon 16 Februari ini.

“MIC akan menurunkan jentera pilihan raya yang bekerja dan menyumbang kemenangan di Cameron untuk PRK Semenyih kali ini yang akan diketuai Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Negara itu menegaskan kemenangan di Cameron Highlands hanya boleh dicapai selepas meletakkan calon berwibawa, iaitu Ramli.

“Bukan sahaja MIC jika calon UMNO diturunkan di sana pun pasti akan kalah juga sebab situasi di Parlimen Cameron Highlands, maka harap kejayaan sama berulang di Semenyih,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Woit, after winning the battle for PRK CH, you guys start to loose the war, to fight one another!

    Politik, everything is possible, ya.

Comments are closed.