ECRL
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) akan mengkaji semula tuntutan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) berikutan pembatalan kontrak projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Syarikat itu akan mengemukakan cadangan balas tidak lama lagi untuk pertimbangan CCCC.

CCCC menerusi surat bertarikh 22 Januari 2019 telah mengemukakan pelbagai cadangan termasuk cadangan pengurangan kos bagi mengekalkan projek tersebut.

Bagaimanapun, seperti sebelum ini, MRL kekal berpendapat pengurangan kos yang besar merupakan faktor penting dalam mengekalkan projek ECRL.

MRL dalam suratnya yang bertarikh 31 Januari 2019 kepada CCCC menyatakan semua cadangan syarikat itu, termasuk surat syarikat bertarikh 9 Januari 2019, sedang dipertimbangkan dengan teliti oleh MRL.

“Kedudukan MRL kekal sama. Tiada cadangan yang diserahkan oleh CCCC memenuhi harapan MRL atau boleh dilaksanakan dalam lingkungan keperluan Malaysia dan kekangan bajet.

“Seperti yang anda ketahui kerajaan Malaysia tidak dapat membenarkan kos projek ECRL dalam hubungan manfaatnya. Disebabkan faktor ini bahawa laluan penamatan dipersetujui pada peringkat kepimpinan pada Ogos 2018,” menurut surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Pada Selasa lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika memutuskan untuk membatalkan projek ECRL tidak sebesar berbanding jumlah hutang jika projek rel itu diteruskan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menanggung hutang besar selama 30 tahun jika projek ECRL diteruskan.

Menurut Darwis, MRL dan kerajaan Malaysia tidak mengambil mudah mengenai perkara tersebut.

Namun, jelasnya, kerajaan baharu mengambil berat tentang kepentingan nasional dan awam khususnya dengan pelbagai kekhuatiran yang dinyatakan oleh media antarabangsa dan tempatan mengenai hubung kait kos projek ECRL dengan hutang 1Malaysia Development Bhd.

Katanya, memandangkan jalan buntu ditemui, cara terbaik untuk MRL bergerak ke hadapan ialah dengan pihak-pihak terlibat menamatkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pertauliahan (EPCC) projek tersebut. – Malaysiagazette