Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.
Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu kesemua pelajar Malaysia yang menetap di sekitar Midwest, Amerika Syarikat (AS) adalah selamat daripada fenomena cuaca sejuk melampau dikenali Vorteks Kutub.

Menurut kenyataan itu, kesemua mereka akan dipantau Education Malaysia Chicago yang bertempat di kawasan itu.

Dalam pada itu, pihak Education Malaysia Chicago juga menasihatkan pelajar terlibat supaya sentiasa berada di kawasan selamat dan tertutup sepanjang telah cuaca sejuk melampau berkenaan.

“Fenomena Vorteks Kutub membawa angin sejuk melampau menyebabkan suhu menurun sehingga -53 darjah Selsius.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan seseorang mendapat ‘frost bite’ jika terdedah di tempat terbuka selama 10 minit,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, kementerian menjelaskan, pihak berkuasa di Illinois telah mengeluarkan perintah darurat bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Tambahnya, kebanyakan syarikat dan premis perniagaan mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah, selain banyak sekolah dan institusi pendidikan ditutup.

“Education Malaysia Chicago akan terus memantau kebajikan dan keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di sekitar Midwest melalui persatuan-persatuan pelajar Malaysia di universiti dan institusi berkenaan, khususnya sepanjang tempoh keadaan cuaca sejuk melampau ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Media semalam melaporkan puluhan juta penduduk di seluruh AS bakal berdepan dengan keadaan cuaca sejuk melampau jarang berlaku dan boleh meragut nyawa yang dikenali sebagai vorteks kutub atau ‘polar vortex’.

Kebanyakan syarikat dan premis perniagaan mengarahkan supaya pekerja mereka duduk di rumah tanpa perlu datang bekerja, selain banyak sekolah ditutup dan lebih 2,700 penerbangan dibatalkan bagi menghadapi fenomena Vorteks kutub. -MalaysiaGazette