Jurulatih dan pemain pasukan Johor DT meraikan kemenangan mereka dengan menjulang Piala Sumbangsih selepas pasukan mereka berjaya menewaskan pasukan Perak dengan jaringan 1-0 di Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 02 FEBRUARI 2019.

JOHOR BAHRU – Juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula langkah kanan apabila menjulang Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini malam ini.

Harimau Selatan menambah koleksi gelaran itu buat kali keempat dalam tempoh lima tahun hasil jaringan tunggal pemain import, Gonzalo Cabrera pada minit ke-40.

MGF02022019_PIALA SUMBANGSIH JDT PERAK08
Pemain pasukan Johor DT, Syafiq Ahmad (kiri) berjaya melepaskan tandukan walau dihalang pemain pasukan Perak, Leandro Dos Santos Oliveira (tengah) pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 02 FEBRUARI 2019.

JDT sebelum ini menjulang gelaran pembuka tirai Liga Malaysia itu pada tahun 2015, 2016 dan musim lalu.

Pada perlawanan sulung Liga Super itu, JDT lebih garang beraksi di laman sendiri berbanding skuad juara Piala Malaysia pimpinan Mehmet Durakovic itu.

Namun pelawat yang sesekali membuat serangan balas hampir mendapat gol penyamaan pada minit akhir perawanan namun tandukan penyerang, Shahrel Fikri sedikit tersasar walaupun penjaga gawang tuan rumah, Farizal Marlias sudah tertewas.

Selepas ini, JDT akan bertemu Kuala Lumpur pada perlawanan kedua manakala Perak menanti kunjungan Lang Merah di Stadium Perak di Ipoh. – MalaysiaGazette