Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Sabah Datuk Aidi Moktar.

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan bahawa kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Sabah Datuk Aidi Moktar untuk mengiktirafkan suku kaum Bugis dan Jawa sebagai anak negeri adalah pandangan peribadi beliau dan tiada kaitan dengan pendirian parti itu.

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata Aidi menyatakan pandangannya tanpa memaklumkan pucuk pimpinan parti terlebih dahulu.

“Beliau (Aidi) bebas untuk menyatakan pandangan peribadi beliau, namun apa yang umum kena tahu, perkara ini tidak pernah dibincangkan diperingkat parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, ketika majlis penyerahan surat lantikan kepada ketua adat di Tawau, Aidi berkata kerajaan Sabah diketuai Warisan akan meneliti semula tafsiran dalam Ordinan Interpretasi Anak Negeri berhubung suku kaum Bugis serta Jawa yang tidak termasuk sebagai anak negeri.

Aidi berkata tiba masanya dibawah era kerajaan baharu, perkara itu diambil perhatian serta melihat semula tafsiran dalam ordinan agar suku Bugis dan Jawa yang sekian lama menetap di Sabah juga diiktiraf sebagai Anak Negeri.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan