Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang kini menjadi isu diharap tidak menjadi seperti kisah “Musang Berjanggut”.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, ECRL perlu diteruskan dan bukan ditamatkan begitu sahaja tanpa menyatakan alternatif lain yang setara sebagai pemangkin pembangunan Wilayah Timur.

“Kita setuju kos perlu dikurangkan, imbangan syarat perlulah pada kedudukan menang-menang dan kerana itu kita tuntut agar dirunding cari jalan supaya ECRL diteruskan.

“Laporan bahawa CCCC (China Communications Construction Company Ltd.) telahpun bersetuju menurunkan kos sehingga separuh adalah bukti bahawa ia boleh dan terbuka untuk rundingan lanjut. Selain menunjukkan kecaman Pas terhadap kos ECRL yang luar biasa tinggi sebelum ini adalah berasas.

“Tetapi menjadi tanda soal ialah laporan bahawa rundingan terganggu oleh ‘terlalu banyak pihak’ yang pergi jumpa CCCC. Apakah tak diselaraskan perundingan supaya cuma satu pihak sahaja yang mewakili Malaysia?

“Atau seperti kisah Musang Berjanggut, dalam perjalanan isteri Tun Nila, ada yang sembunyi bawah lantai minta ini, ada pula sembunyi balik pokok minta itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad berkata, Pas hanya mengecam soal kos yang melampau dan syarat perjanjian berat sebelah hingga merugikan Malaysia.

Namun, jelas beliau, parti itu memperakui keperluan projek seumpama ECRL untuk merangsang pembangunan Wilayah Timur di mana ia masih ketinggalan dan mempunyai peratusan kependudukan orang Islam dan Melayu tertinggi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika memutuskan untuk membatalkan projek ECRL tidak sebesar berbanding jumlah hutang jika projek rel itu diteruskan.

Menurut Mahathir, kerajaan akan menanggung hutang besar selama 30 tahun jika projek ECRL diteruskan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Songsang Sgt “narrative” yg kamu ungkapkan mengenai ERCL. Yg ketara dlm dada kamu, seperti ‘Ponggok Rindukan Bulan’.

Comments are closed.