Pesakit kanser yang merupakan orang asli, Bajai Kalan, 6 bersama ibunya, Norisa Awek (kiri) ketika program melawat kanak-kanak kanser di Wad Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto FAREEZ FADZIL, 03 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR- Dua bulan menjadi penghuni wad KK3 Pedriatrik, Hospital Kuala Lumpur cukup membosankan Bajai Kalan, anak kecil berusia enam tahun dari suku kaum Temuan.

Wad KK3 merupakan wad untuk pesakit-pesakit kanser kanak-kanak di HKL.

Dalam hati anak bongsu daripada tiga beradik ini hanya ada satu impian; untuk segera sembuh dan pulang ke pangkuan keluarga di Raub, Pahang.

Menurut ibunya, Norisah Awet, Bajai dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap leukemia, Julai tahun lalu selepas kerap demam dan keluar masuk Hospital Bentong, Pahang.

“Dia selalu cakap hendak balik malah saya sendiri pun sudah bosan duduk di wad ini.

“Bajai mahu pulang dan tidak sabar untuk bertemu adik-beradik yang lain tetapi apa daya kami, dia masih belum sembuh.

“Semoga dia cepat sembuh dan kami semua boleh pulang ke kampung,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Norisah, Bajai sudah menjalani beberapa sesi kemoterapi namun dia sendiri tidak tahu berapa pusingan rawatan lagi yang perlu dijalani oleh anak itu.

“Dia sangat rindukan abangnya.

“Dia selalu mengusik abangnya itu,” kata Norisah lagi sambil melayan Bajai yang cukup aktif.

Tambah Norisah, dua lagi anaknya dijaga oleh nenek mereka ketika dia terpaksa tinggal menjaga Bajai di HKL.

Berbeza dengan jiran sebelah katil Bajai, Zulalif Fahmi Zolkifli agak pendiam hari ini, kata ibunya.

Mungkin kesan daripada rawatan kemoterapi yang baru sahaja dilakukan kepadanya.

MGF03022019_LAWAT WAD PEDIATRIK_06
Pesakit kanser, Zulalif Fahmi Zolkifli berbual dengan Pengerusi WeHuman, Srizan Safar (kiri) ketika program melawat kanak-kanak kanser di Wad Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto FAREEZ FADZIL, 03 FEBRUARI 2019

Si comel berusia tujuh tahun itu belum sempat merasai alam persekolahan kerana disahkan menghidapi leukemia dan perlu menjalani rawatan segera sejak September tahun lalu.

“Dia anak bongsu daripada lima beradik. Dulu dia montel tetapi sekarang, tengoklah.

“Saya harap dia cepat sembuh kerana hati saya remuk setiap kali dia perlu menjalani rawatan.

“Saya masih ingat ketika Alif perlu menjalani ujian CT Scan, dia merayu-rayu kepada para jururawat supaya tidak disuntik.

“Terlalu sakit, katanya,” ujar ibu Zulalif, Rohana Abu Hassan sambil menunjukkan gambar anaknya ketika masih sihat.

Alif ketika itu sudah seberat 40 kilogram tetapi hilang berat badan mendadak akibat kanser yang dihidapinya sejak beberapa bulan lalu.

“Terlalu banyak pengalaman perit yang kami hadapi sepanjang tempoh tersebut malah doktor pernah mengesahkan denyutan nadinya telah hilang tetapi dengan kepakaran para doktor dan bantuan segera yang diberikan, anak kami hidup semula.

“Saya cuma mahu dia sembuh,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Zulalif tidak bercakap sepanjang temubual tersebut tetapi tiba-tiba menangis ketika terdengar perbualan kami dengan Rohana mengenai sakit yang dihidapinya.

“Dia tahu dan faham mengenai penyakit yang dihidapinya,” kata Rohana.

Menurut wanita tersebut, dia dan suaminya terpaksa menangguhkan perniagaan kerana mahu memberi tumpuan kepada Zulalif.

“Sepatutnya semalam suami meniaga taufu fah di pasar malam tetapi tiba-tiba Alif menangis dan memeluk saya dengan erat kerana terlalu rindukan bapanya.

“Jadi saya menelefon bapanya dan meminta dia ke hospital dengan segera,” katanya lagi.

Rohana sekeluarga tinggal di Sijangkang, Teluk Pangglima Garang, Selangor merupakan asnaf yang menerima bantuan Jabatan Agama Islam Selangor.- MalaysiaGazette