Kapal Equanimity ditahan di Markas Wilayah Laut 3 di Langkawi.- pix kredit Lokman Noor Adam.

KUALA LUMPUR – Kenapa Kapal Equanimity masih disimpan rapi di markas Tentera Laut Diraja (TLDM) Langkawi?

Itu persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang meninjau sendiri lokasi kapal mewah itu di luar Markas Tentera Wilayah laut 3 di pulau peranginan itu hari ini.

Beliau mendakwa, isu kapal milik taikun Jho Low yang dikaitkan dengan kes 1MDB itu menunjukkan penipuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang.

Beliau juga hairan kenapa kapal berkenaan dijaga begitu rapi sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk diselenggara setiap bulan.

Malah selagi ia tidak dijual, kapal berkenaan perlu dibawa bersiar bagi mengelakkan teritip ‘hinggap’ di badan kapal, katanya.

Persoalannya, menurut Lokman, kenapa barangan rampasan atau barang kes dijaga begitu rapi oleh kerajaan?

Malah beliau mendakwa kononnya Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membayar individu pihak tertentu membolehkan kapal berkenaan dibawa ke Malaysia.

“Yang peliknya di Malaysia, PM kata ia kena cepat dijual kerana kalau simpan simpan kosnya (senggara) RM21 juta sebulan.

“Ada pernah dengar JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), pihak kastam atau jabatan laut mohon peruntukan nak servis bahan rampasan, ditukar minyak hitam ke? Nampak sangat.

“(Kata) selenggara mana pernah barang rampasan nak selengara..tup tup tup di Langawi di mana (kawasan) Tun M yang jadi PM sekarang.

“Cukup-cukuplah tipu rakyat Malaysia,” kata Lokman.

Sebelum itu, menurut Lokman, Mahathir berkata, kerajaan mahu melelong kapal berkenaan yang harga RM250 juta pada kadar separuh harga namun tidak siapa membelinya sampai sekarang.

Menurutnya, kapal Equanimity itu salah satu daripada 17 aset milik Jho Low yang mahu dirampas oleh Jabatan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS).

Namun Jho Low, katanya, menerusi peguamnya mempertikaikan kenapa kapal yang dibeli pada tahun 2016 itu tidak didakwa DoJ sehingga tahun 2018.

“Bila Tun M sudah kantoi akhirnya DoJ bantu Tun M dengan mengeluarkan kapal Equanimity daripada senarai barang rampasan.

“Itu sebenar jadi isu.Bila ditahan di Indonesia Jho Low arah peguam bawa ke mahkamah dan mendapati penahanan kapal itu tidak sah dan kapal juga bukan milik 1MDB,” katanya.

Beliau juga mendakwa kapal berkenaan dibeli oleh Tun M melalui seseorang tetapi enggan mendedahkannya.

“Kenapa ia dijaga begitu rapi? Kalau ditahan kenapa tidak disimpan di dek kastam atau polis? Masalahnya ditahan di markas tentera.

“Apahal ditahan di markas tentera? Orang ramai tak dibenarkan masuk. Sudahlah kita dibodohkan Tun M,” dakwanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/01/22/sukarnya-cari-pembeli-equanimity/