Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye.. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 FEBRUARI 2019

KAJANG – Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lepas menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus atau 456 kes.

Ia merupakan tahun kedua jumlah penurunan angka kematian pada tahun sebelumnya iaitu enam peratus atau 412 kes, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye.

Menurutnya, jumlah penurunan itu adalah disebabkan penglibatan MIROS di dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 yang mensasarkan penurunan kematian di jalan raya selaras dengan negara bersatu di dalam Dekad Tindakan Untuk Keselamatan Jalan Raya 2011-2020.

“Namun usaha yang berterusan ini masih perlu dipergiatkan kerana kita masih melihat sebanyak 6,282 kematian direkodkan pada tahun 2018 yang mana secara puratanya 18 orang mati setiap hari akibat kemalangan jalan raya.

“Semua usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh MIROS sekiranya tiada hubungan kerjasama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bersama dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya berucap pada Majlis serah Nota Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, di sini hari ini.

Beliau berkata, semua usaha itu tidak mungkin dicapai sekiranya tiada hubungan kerjasama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pihak-pihak berkepentingan.

Dalam pada itu Lam Thye berkata, banyak usaha dan program baru telah diperkenalkan oleh MIROS sebagai langkah meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini

Katanya, ia tidak lain bagi memenuhi misi MIROS untuk memupuk sains dan kesenian dalam intervensi keselamatan jalan raya.

Lam Thye yang mula berkhidmat sebagai Pengerusi MIROS sejak 2015 akan menamatkan tugasnya hari ini dan tanggungjawabnya itu digalas bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Watikah pelantikan Pengerusi MIROS telah ditandatangani Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini selaras dengan peruntukan subsekysen 11(2), Akta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2012.

Hadir sama menyaksikan penyerahan jawatan tersebut Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak. – MalaysiaGazette