Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Tindakan mengejutkan pimpinan Pas dengan menarik kembali saman fitnah terhadap editor kontroversi Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown baru-baru ini mengundang pelbagai persoalan.

Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memutuskan untuk menarik balik tuntutan saman terhadap Clare dan menyelesaikan kes itu di luar mahkamah juga menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

Terbaharu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH) Faiz Fadzil menggesa kerajaan khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera bertindak menyiasat aliran wang parti politik berkenaan.

Kata beliau dalam kenyataan hari ini, umum menanti kes itu dibicarakan bagi menilai sejauh mana keikhlasan Pas memperjuangkan Islam seperti yang menjadi laungan mereka sebelum ini.

“Tapi yang kita saksikan, pada masa yang sama, Pas bersengkongkol dalam skandal 1MDB yang melibatkan kehilangan wang rakyat.

“Jadi, tidak hairan apabila melihat perubahan mengejut melawan arus kebangkitan rakyat dengan membela skandal 1MDB dan memainkan sentimen perkauman senada dengan UMNO.

“Penarikan saman tersebut menunjukkan dakwaan penerimaan dana RM90 juta tersebut benar. Isu ini melibatkan penyelewengan dana 1MDB yang mempunyai unsur-unsur kesalahan jenayah termasuk kesalahan pengubahan wang haram.

“Oleh kerana ini, sebenarnya PAS dan pemimpin yang menerima dana tersebut juga harus disiasat oleh pihak polis dan SPRM di mana akaun mereka juga boleh dibekukan selaras dengan peruntukan seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA),” katanya.

Abdul Hadi telah memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Laporan itu antara lain mendakwa Presiden Pas itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Bagaimanapun Brown memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah berkenaan pada April 2018, antara lain atas alasan intimidasi saksi.

Dakwa Brown dalam permohonannya telah mengadu Hadi memutarbelitkan maksud kata-katanya untuk tujuan tersembunyi partinya dan bukan untuk mempertahankan reputasi diri

Jelas Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir menegaskan, pihaknya berpendirian tiada sesiapa yang boleh terlepas dalam siasatan skandal 1MDB kerana penyelewengan dana itu begitu besar dan menjijikkan.

“Keluhuran undang-undang perlu ditegakkan dengan satu siasatan adil, menyeluruh dan segera perlu dijalankan segera supaya kehilangan berbilion ringgit wang rakyat akibat skandal mega 1MDB ini dapat diperolehi semula.

“Oleh itu, pihak PDRM dan SPRM wajar menyiasat kes ini dengan segera dan mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/02/kes-pas-saman-sarawak-report-selesai-luar-mahkamah/