HONG KONG- Memiliki sebuah gimnasium, kolam renang, galeri, salon kecantikan dan pad helikopter, di samping 22 ruang tidur untuk tetamu, kapal super mewah, Equanimity kini sedia untuk dijual pada separuh harga asalnya.
Bagaimanapun, mencari pembeli kepada kapal super mewah yang juga merupakan aset berharga dalam skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) itu bukanlah satu tugas mudah.
Kapal tersebut merupakan aset paling menyerlah yang diperoleh pihak berkuasa Malaysia dalam usaha untuk mendapatkan semula dana-dana 1MDB selepas siasatan besar-besaran seluruh dunia terhadap Goldman Sachs Group Inc dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas pemilik kapal berkenaan iaitu Low Taek Jho, ahli perniagaan yang kini dalam pelarian adalah individu paling penting dalam skandal tersebut.
Jho Low dan beberapa yang lain dituduh menyeleweng dana 1MDB untuk kegunaan peribadi- termasuk membeli Equanimity yang disiapkan pada 2014 dengan anggaran kos sebanyak AS$250 juta.
Dengan harga panduan AS$130 juta, pakar kapal mewah Burgess, broker tunggal untuk penjualan Equanimity berkata, terdapat beberapa kapal yang mempunyai saiz yang sama sedang berada di pasaran ketika ini.
Namun usaha awal untuk menjual kapal tersebut dalam satu lelongan pada November 2018 masih gagal.
Apabila pembeli menghantar bidaan kepada Syerif Mahkamah Tinggi Malaya, barulah harga pernilaian daripada AS$130 juta itu akan didedahkan.
“Ada pembida yang oportunistik terhadap harga mereka.
“Mandat yang kami dapat sekarang adalah tidak akan berunding dengan mana-mana bidaan di bawah harga AS$100 juta.
“Sangat jelas, ia bukan jualan murah tetapi anda akan dapat padanan dengan nilai kapal berkenaan,” kata seorang perunding dari firma Tommy Thomas dan penasihat dalam urus niaga berkenaan, Sitpah Selvaratnam.
Sesetengah pembeli berpotensi yang sudah biasa dengan saiz kapal mewah di sepanjang pantai selatan Eropah pula tidak bersedia untuk datang ke pangkalan tentera laut berhampiran Kuala Lumpur yang menjadi penempatan Equanimity.
Tetapi Burgess masih berundingan dengan 20 pembeli yang berminat dengan kapal itu, menurut broker utama penjualan, Rupert Nelson.
Katanya, kebanyakan pembeli berpotensi datang dari Timur Tengah, Rusia dan bahagian-bahagian lain di Asia.
“Ada di antara mereka adalah nama keluarga besar dalam industri kapal layar
“Masih panjang lagi waktu untuk Malaysia menjaga kapal tersebut, yang mana kini kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak AS$500,000 sebulan untuk mengekalkan kapal tersebut,” katanya yang dipetik dari Bloomberg.
Equanimity adalah sebahagian daripada harta mewah yang dimiliki oleh Jho Low dan kini menjadi subjek perbalahan undang-undang dan rampasan aset di seluruh dunia.
Amerika Syarikat telah memfailkan tuntutan terhadap AS$1.7 bilion aset yang didakwa diperoleh dengan wang yang dicuri dari 1MDB, termasuk berlian berbentuk hati AS$1.29 juta dan loket berlian AS$3.8 juta yang diberikan Jho Low kepada model Australia Miranda Kerr, serta lukisan Picasso bernilai AS$3.2 juta yang dihadiahkan kepada Leonardo DiCaprio.
Kedua-dua selebriti telah menyerahkan hadiah kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Jho Low telah berkali-kali mengaku tidak bersalah dan menghadapi tuduhan termasuk penggubahan wang haram di Malaysia.
Beliau didakwa absentia kerana masih tidak dapat dijejaki sehingga kini.- MalaysiaGazette