KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hairan mengapa tiada dakwaan dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) berhubung tohmahan  tentang wang pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini kerana, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, PH sering membuat tomahan terhadap KWSP untuk menakutkan rakyat.

PH memburukkan kerajaan BN kononnya KWSP sudah bankrap, wang KWSP di salahguna ataupun dicuri dan dividen KWSP adalah angka palsu dan rekaan sahaja.

Tidak cukup dengan itu, tiga pemimpin PH iaitu Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara, Wong Chen (PKR) dan Teresa Kok (DAP) membuat kenyataan bersama bahawa agihan kadar dividen 5.7 peratus untuk tahun 2016 adalah sangat rendah kerana wang KWSP telah digunakan untuk menyelamat 1MDB.

Disebabkan itu, KWSP berdepan dengan masalah kewangan.

Sedangkan, kata Najib, kadar dividen 5.7 peratus untuk tahun 2016 menurun berbanding 6.4 peratus untuk tahun 2015 kerana prestasi Bursa Malaysia tahun itu kurang baik kerana harga minyak jatuh.

Tetapi apabila prestasi Bursa Malaysia pulih dan bertambah baik pada tahun 2017, kadar dividen untuk tahun itu diagihkan sebanyak 6.9 peratus.

Namun, pemimpin-pemimpin PH tuduh kadar dividen itu palsu dan hanya gula-gula untuk pilihan raya.

“Tidak kira kadar dividen naik atau turun, PH tetap fitnah bagi menghasut rakyat. Kebenaran tidak penting

“PH sudah mengambil alih kerajaan dan KWSP selama 9 bulan tetapi tidak ada sebarang dakwaan mahupun bukti sebagaimana tuduhan mereka selama ini tentang wang KWSP dan tentang dividen – sekaligus membuktikan segala tomahan-tomahan PH terhadap KWSP selama ini adalah fitnah.

“Wang KWSP memang wujud dan tetap dimiliki oleh setiap pencarum,” tegas Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sepanjang menjadi Perdana Menteri, kebanyakan projek-projek besar dianugerahkan kepada syarikat-syarikat pelaburan negara seperti Khazanah Nasional Berhad, KWSP, Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad dan sebagainya supaya nilai dan pulangan kepada simpanan rakyat di dalam tabung-tabung ini naik dengan baik.

Najib berkata, kroninya adalah rakyat.

Secara umumnya, kadar dividen KWSP naik hampir setiap tahun sehingga memperoleh dividen 6.9 peratus untuk Simpanan Konvesional (tertinggi bagi tempoh 20 tahun) dan 6.4 peratus bagi Simpanan Syariah.

Jumlah aset KWSP iaitu kekayaan rakyat naik dengan pesat daripada RM342 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM810 bilion pada akhir 2017, bukti beliau tidak banyak campur tangan dalam pengurusan KWSP.

Najib berkata, KWSP dijangka mengumumkan dividen untuk tahun 2018 pada bulan ini dan bertanya berapa kadar dividennya. – MalaysiaGazette