Home Nasional “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu”, MOF lapor polis, SKMM

“Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu”, MOF lapor polis, SKMM

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) membuat laporan polis dan aduan terhadap Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap laporan berita bertajuk “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu”.

Kementerian tersebut menegaskan Menterinya, Lim Guan Eng tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa orang Islam tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji dan umrah menerusi agensi pelancongan swasta.

“MOF telah membuat laporan polis untuk melaporkan penyebaran maklumat palsu dan juga akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia
(SKMM).

“Ingin ditegaskan sekali lagi di sini bahawa tidak sekali-kali pernah Menteri Kewangan, mahupun MOF mengeluarkan arahan seperti yang dinyatakan di dalam artikel Malaysia Today.

“Tuduhan-tuduhan palsu ini berniat jahat dan merupakan fitnah
dan pembohongan,” kata kenyataan itu.

Artikel “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu” diterbitkan oleh Malaysia Today dua hari lalu disifatkan Kementerian Kewangan sebagai tuduhan palsu.

Dalam masa yang sama ia bertujuan untuk memastikan Tabung Haji menjadi agensi yang memonopoli pengurusan haji dan umrah dalam negara.

“Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ingin menegaskan bahawa Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng dan MOF tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan yang menghendaki orang beragama Islam melakukan Umrah hanya melalui Tabung Haji dan bukannya melalui agensi pelancongan swasta/ bebas yang telah dihalang daripada menawarkan pakej-pakej Umrah.

“…Menurut artikel “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu” yang diterbitkan di laman Malaysia Today (4 Februari, 2019), tujuan arahan palsu ini adalah untuk memastikan Tabung Haji memonopoli perkhidmatan pengurusan dan perjalanan Umrah, lantas menghilangkan peluang untuk agensi pelancongan swasta/bebas milik Bumiputera untuk bersaing di dalam pasaran ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu.

Laporan berita itu juga menurut MOF sengaja ditulis untuk memupuk kebencian terhadap Guan Eng sebagai Menteri Kewangan bukan Islam.

“Laporan berita palsu ini disebarkan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap Menteri Kewangan bukan Islam, kerana kononnya melakukan campur tangan dalam hal ehwal urusan Islam,” ujar MOF. -MalaysiaGazette