Isu kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke negeri Sabah seharusnya dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan menterinya, Lim Guan Eng tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau arahan yang menghendaki orang beragama Islam melakukan umrah hanya melalui Tabung Haji dan bukan melalui agensi pelancongan swasta atau bebas.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata tuduhan dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab tersebut adalah tidak berasas.

“Menurut artikel “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu” yang diterbitkan di laman Malaysia Today (4 Februari, 2019), tujuan arahan palsu ini adalah untuk memastikan Tabung Haji memonopoli perkhidmatan pengurusan dan perjalanan Umrah, lantas menghilangkan peluang untuk agensi pelancongan swasta/bebas milik Bumiputera untuk bersaing di dalam pasaran ini.

“Artikel ini turut dipaparkan di laman Facebook Raja Petra Kamarudin pada 4 Februari 2019,” menurut kenyataan itu.

MOF berkata laporan berita palsu itu disebarkan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap Menteri Kewangan, kerana kononnya melakukan campur tangan dalam hal ehwal urusan Islam.

Menurut kenyataan itu lagi, MOF telah membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat palsu dan akan turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ingin ditegaskan sekali lagi di sini bahawa tidak sekali-kali pernah Menteri Kewangan, mahupun MOF mengeluarkan arahan seperti yang dinyatakan di dalam artikel Malaysia Today,” katanya, menambah tuduhan palsu itu berniat jahat serta merupakan fitnah dan pembohongan.

— BERNAMA