Azri Zahier Azmi
Azri Zahier Azmi

KUALA LUMPUR – Usahawan minuman Hausboom yang mengeluarkan kata-kata kasar kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam memohon maaf.

Azri Zahier Azmi menerusi akaun Facebooknya juga turut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan mengakui beliau bukan usahawan yang layak menjadi role model.

“Apa pun (kepada) YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, saya sejujurnya memohon maaf atas kekasaran bahasa saya,” katanya yang turut menjelaskan keadaan sebenar menimpanya.

Azri Zahier yang merupakan pengasas minuman itu menjelaskan, beliau bukan ahli politik dan bahasanya jika bercakap adalah berkaitan perkara yang betul dan benar.

“Aku bukan ahli politik. Bahasa aku, apa yang aku cakap adalah benda yang betul. Isi hati. Realiti. Rakyat marhaen. Aku bukan nak please sesiapa. Just me and my team.

“Hanya usahawan sebenar faham kekecewaan aku dan team aku rasa. Kami usaha bertahun-tahun, balik lewat, tinggal anak bini, ikat perut, pinjam duit orang, bergolok bergadai demi membangunkan bisnes.

“Wallahi. Bukan sebab nilai sponsor tu. Demi Allah. Siapa yang pergi event-event aku tahu yang kami suka bagi free je. Setahun bajet kami ratusan ribu botol untuk diberi percuma,” jelas beliau panjang lebar.

Katanya, ia juga bukan isu menteri tidak menolongnya dan bersumpah yang beliau tidak kisah pun.

Sebagai usahawan, ujarnya, beliau tahu perniagaan itu lain permainannya dan tidak memerlukan surat sokongan pun kerana ia sekadar bidang perniagaan pengguna dan rakyat marhaen

Bagaimanapun, tegas Azri Zahier, isu yang dibangkitkannya adalah janji dan harapan yang diberikan menteri berkenaan.

“(Janji) bukan kepada aku seorang, ada banyak lagi yang diberikan janji sama. Cuma mereka memilih untuk berdiam diri dan telan sahaja butir pasir yang disuapkan. Sebab kita rakyat marhaen.

“Empat bulan…(bersamaan) 120 hari.. Itu masa yang diberikan untuk YB Menteri respon. Aku dah guna semua saluran mengingatkan janji tidak tertunai itu. Sebab itu, Syed Saddiq tidak sentuh langsung bab ini.

“Termasuklah aku hantar surat rasmi beserta invoice. Pada aku, kalau tak boleh kotakan janji pun takpe la. Bayar sahaja kos sponsor tu. Bukan banyak mana pun kepada sebuah kementerian… RM192 sahaja. Tapi besar nilainya kepada usahawan muda macam kami,” katanya.

Namun, katanya, surat rasmi invoice itu pun tidak dilayan sehingga pada 16 Januari lalu pegawai kementeriannya menghantar gambar menteri dengan produknya.

“Itu sahaja. Tidak seperti yang dijanjikan. Pegawai sendiri beritahu, gambar itu baru ditangkap (dirakam) setelah ditekan oleh beberapa pegawai lain sebab pemilik produk yang lain sudah bising. Tapi aku sendiri dah tak kisah dah. Sumpah.

“Cuma yang triggered aku balik bila semalam Syed Saddiq promot satu produk ni. Kata beliau, ini atas inisiatif yang sama. Setiap minggu dia buat macam ni. Eh??? After 4 months, u claimed u have been doing this every week?? Aku baca komen, ramai yang nak hantar produk untuk tujuan sama.

“Jadi, aku berasa bertanggungjawab untuk berkata benar walaupun pahit. Ramai je usahawan mengucapkan terima kasih sebab jadi wakil meluahkan isi hati semua,” katanya.

Tapi tidak mengapalah ujarnya, kerana nasi sudah menjadi bubur dan beliau mengaku salahnya menggunakan bahasa yang kasar.

“Bak kata Chef Wan; dirasuk syaitan,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan hantaran Azri Zahier meneruai akaun Facebooknya mendakwa ditipu oleh Syed Saddiq.

Beliau dilaporkan berkaya, empat bulan lepas, dia telah dihubungi oleh pegawai KBS yang mahunya menaja produk keluarannya untuk mesyuarat kabinet.

Sebagai balasan, katanya, Syed Saddiq akan membaca profil usahawan terbabit dan mempromosinya produk berkenaan di Instagram menteri tersebut.

Respon kepada dakwaan itu, Syed Saddiq tampil memberi penjelasan dengan berkata, beliau telah membantu usahawan tersebut memasuki pasaran serbaneka 7-Eleven.

Kata menteri itu, beliau bertemu sendiri dengan pemilik rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, Tan Sri Vincent Tan untuk mengenengahkan produk keluaran Hausboom yang dimiliki oleh Azri Zahier. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/05/syed-saddiq-kencing-usahawan-muda/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast