Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

SEREMBAN – Sebarang pemberian peruntukan untuk semua sekolah di Negeri Sembilan dilaksanakan berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut sentimen perkauman.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2019,  kerajaan memperuntukan RM3.5 juta untuk disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama Tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

“Kita ada baki lebih kurang RM3 juta lagi yang mana pemberian tersebut belum lagi dibahagi-dibahagikan…Jadi semua kenalah bersabar.

“Kita bagi mengikut keperluan dan bukan  mengikut emosi. Kita bukan bagi ikut perkauman sebaliknya keperluan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Profesionalisme Keguruan Sekolah Agama Rakyat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan pihak tertentu yang mempertikaikan peruntukan RM450,000 kepada dua buah SJKC swasta di negeri ini dengan mendakwa peruntukan yang disalurkan itu terlalu banyak.

Mengulas lanjut, menteri besar berkata peruntukan yang disalurkan kepada dua sekolah berkenaan adalah berdasarkan keperluan selain ia sebagai berita gembira sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

“Tidak wajar mempertikaikan peruntukan kepada sekolah SJKC tersebut kerana SAR juga yang merupakan sekolah persendirian turut menerima peruntukan daripada kerajaan negeri. Jadi kita kena bijaksana, kena ada ilmu untuk kita selesaikan masalah.

“Dalam masa terdekat ini, kita akan ke sekolah Tahfiz pula walaupun sekolah Tahfiz dah ada peruntukan khas. Itu dah ada dalam bajet kerajaan negeri,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Aminuddin berkata seramai 1,432 guru besar dan guru Kafa akan menerima pemberian bantuan khas sebanyak RM500 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM716,000.

“Bantuan khas kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ini akan dikreditkan secara terus ke akaun penerima dalam masa terdekat ini,” katanya.

— BERNAMA