Mohamad Hassan
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan berswafoto bersama sebahagian tetamu yang hadir pada program Bicara Minda anjuran Sinar di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands menjadi pemangkin semangat kepada parti itu untuk merampas semula kerusi DUN Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kejayan yang ditempa itu sangat bermakna selepas empat kali tewas dalam PRK sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana pengundi Cameron Highlands telah buat keputusan memihak kepada BN. Semangat jadi kembang balik,” katanya yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian menerusi program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di sini hari ini.

Menurut Mohamad, kemenangan BN pada PRK berkenaan merupakan manifestasi bagi menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan pada hari ini.

“PH banyak tabur janji. Yang dijanji tak dibuat, yang tak dijanji mereka buat, jadi orang geram,” ujar.

Sementara itu, Mohamad mengakui BN tersilap strategi ketika melancarkan manifesto parti itu ketika Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.

Ini kerana katanya, manifesto BN pada PRU berkenaan tidak semanis manifesto Pakatan Harapan yang mampu memperdayakan rakyat.

“Kita punya manifesto tak betul, apa orang nak, kita mesti tawarkan. Manifesto bukan bajet.

“PRU15 kita akan janjikan bagi bulan bintang, lagipun manifesto bukan kitab suci,” ujarnya. – MalaysiaGazette