Liga Perdana Inggeris
Pemain-pemain Manchester bersorak gembira selepas berjaya menyumbat gol ke pintu pasukan Everton dalam perlawanan awal pagi tadi.

LONDON – Manchester City memberikan tekanan kepada Liverpool apabila kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas menang bergaya 0-2 menewaskan Everton di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Pep Guardiola yang menguasai permainan mempunyai banyak rentetan peluang tetapi hanya mendahului perlawanan pada penghujung babak pertama menerusi jaringan Aymeric Laporte yang berjaya menanduk masuk sepakan percuma David Silva.

Sergio Aguero hampir menggandakan jaringan buat The Citizen pada pertengahan babak kedua tetapi sepakannya sedikit keluar walaupun penjaga gol Everton, Jordan Pickford sudah tertewas.

Ketika tuan rumah cuba mengasak di penghujung permainan, Gabriel Jesus menjadi pemusnah dengan gol kedua selepas memperdaya Pickford sebelum tenang menanduk masuk bola bagi jaringan kedua perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan mereka mempunyai kelebihan jaringan walaupun berkongsi 62 mata bersama Liverpool yang akan beraksi menentang AFC Bournemouth, Sabtu ini. – MalaysiaGazette