KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy seolah-olah sudah semakin ‘nyanyuk’ dan tidak tahu apa itu malu apabila berterusan melakukan serangan terhadap MIC bagi menutup kelemahan dirinya yang tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat India di negara ini.

Begitu luahan Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja kepada MalaysiaGazette hari ini berikutan gelagat pemimpin DAP itu yang gemar menangguk di air keruh dengan kejayaan serta sumbangan oleh MIC.

Jelas Raja, baru-baru ini Ramasamy telah menulis sebuah artikel dalam portal Malaysia Kini yang mengkritik tindakan MIC meminjamkan kerusi Parlimen Cameron Highlands milik tradisi parti itu kepada UMNO.

“Pelik betul saya dengan Ramasamy ini sebenarnya. Beliau sebenarnya tidak bercakap pula tentang kekalahan kali ketiga oleh bukan sahaja calon muka sama, M. Manogaran, sebaliknya DAP kalah kepada BN sekali lagi.

“Kali ini jauh lebih memalukan, kerana kini anda adalah kerajaan pusat dan begitulah cara pemimpin-pemimpin anda riak berkempen dengan mendabik kata kuasa mutlak kini milik anda.

“Apabila sudah kalah, terus sahaja kata isu perkauman tapi sampai kini yang main isu perkauman ini adalah pemimpin dalam DAP, antaranya adalah Ramasamy ini sendiri. Cukuplah, sudah kalah buat cara kalah.

“Anda juga antara pemimpin yang langsung tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat India, sebaliknya menggunakan peluang mengkritik MIC selain menyemai rasa benci mereka kepada kami, tetapi hakikatnya anda sendiri tidak ada berbuat apa-apa bagi membantu komuniti ini.

“Pemimpin seperti anda sebenarnya sepatunya bersara sahaja dari politik daripada memalukan diri dan masyarakat setempat, adakah kamu beranggapan bahawa tidak ada sesiapa yang nampak tahap ‘kebebalan’ kamu ini,” katanya.

Raja mengulas kenyataan Ramasamy yang mendakwa MIC sebenarnya berhalusinasi bahawa kerusi Cameron Highlands akan dikembalikan semula kepada parti itu selepas ini.

Malah kata Ramasamy, ada kemungkinan besar MIC tidak akan mendapat apa-apa kerusi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

P.-Ramasamy
P. Ramasamy

Jelas Raja, dirinya boleh memberikan berbelas-belas malah berpuluh-puluh isu yang gagal diselesaikan oleh Ramasamy yang sebenarnya memerlukan perhatian serius terutamanya bagi masyarakat India di negara ini.

“Tetapi apa yang saya boleh tengok, malah apa yang umum sendiri nampak adalah bagaimana Ramasamy ini duduk tanpa bergerak-gerak dan hanya menggunakan air liurnya untuk bercakap sahaja.

“Kami semua ingin tahu apakah yang terjadi dengan isu yang mengaitkan diri anda sebagai pengganas ‘Tamil Tigers’ Sri Lanka sebelum ini? Terus diam sahaja, sudah elok antara kamu dan mufti? Hebat. Itu sahaja kemampuan kamu.

“Bagaimana pula ketika menjadi pembangkang, anda semua bercakap macam-macam tentang Zakir Naik dan kini kuasa dalam tangan, kamu diamkan sahaja isu yang sebenarnya telah memberi impak kepada rata-rata masyarakat India di negara ini? Diam juga kamu.

“Apa pula jadi dengan kes perobohan kuil di Johor Bharu? Anda tunjuk muka, cari publisiti kemudian terus ‘menghilang’. Akhirnya yang selesaikan isu itu adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Menteri Besar dan juga MIC. Adakah Ramasamy beri bantuan dana untuk bina balik kuil itu? Tidak juga.

“Bagaimana pula dengan isu kuil Seafields? Batang hidung juga tidak nampak. Akhirnya, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang turun padang bantu, dari segi perundangan dan juga bantuan kewangan atas kerosakan yang berlaku.

“Yang anda boleh banggakan mungkin adalah tentang pendati emas bagi perayaan Thaipusam oleh anda dan kerajaan DAP? Selain itu apakah sumbangan kamu sebenarnya? Isu yang kemukakan ini hanya sedikit, banyak lagi.

“Kita cakap tentang Pulau Pinang, apa jadi dengan projek ‘mega’ anda mahu bina Sekolah Menengah Pertama Tamil di Butterworth? Dulu menangis kata kerajaan pusat tidak beri, sekarang sudah lebih sembilan bulan, diam sahaja?

“Ramasamy, janganlah buat malu diri sendiri seperti ini, saya sendiri rasa malu untuk terus berikan contoh-contoh betapa sebagai pemimpin India, kamu hanya layak dipanggil tin kosong, banyak bunyi tapi tiada isi.

“Patutlah apabila pilihan raya parti sendiri, kamu kalah dengan sungguh memalukan. Perwakilan anda sendiri tidak mahu kamu. Bagaimana kamu boleh kalah sebegini sekali? Bukan kamu pejuang hebat yang sangat diperlukan oleh orang-orang kamu?

“Lolongan dan jeritan kamu menuding MIC sebenarnya bukan sahaja tidak di pandang oleh mana-mana pihak walaupun dalam kalangan orang kamu sendiri sebaliknya rata-rata juga seperti saya, tertanya-tanya apakah sumbangan kamu kepada kami.

“Kamu katakan MIC tidak dihormati oleh UMNO tetapi cermin sikit juga, orang kamu, ahli DAP sendiri tidak hormat atau mahu mengundi kamu. Kamu langsung tidak ada ‘kelas’ untuk bercakap wahai Ramasamy.

“Tapi kamu bukan sahaja tidak cari peluang perbetulkan apa yang perlu, tapi macam kanak-kanak ‘ribena’, kamu cuba cari salah MIC supaya dapat tutup kelemahan diri kamu sendiri, lagi banyak kamu buka mulut, lagi malu jadinya kelak.

“Anda henti berhalusinasi dahulu tentang kemenangan yang tidak pernah DAP kecapi di Cameron Highlands terlebih dahulu,” tegas Raja. –MalaysiaGazette