Park Lane Hotel di New York. foto Agensi

WASHINGTON – Kepentingan saham dalam Park Lane Hotel di New York telah dijual kepada dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi sebagai sebahagian daripada usaha Jabatan Keadilan Amerika Syarikat untuk mendapatkan dana berbilion dolar milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nilai saham hotel yang terletak di Central Park South berhampiran lokasi Mahanttan Billionaires itu telah dipindahkan kepada kerajaan Amerika Syarikat pada 10 Disember lalu, kata Thom Mrozek, jurucakap Pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat di Los Angeles.

Wakil pembeli iaitu Mubadala Investment Co. enggan mengulas.

Jualan tersebut mungkin dilakukan pada bulan November, selepas Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low, bersetuju untuk menggugurkan tuntutannya ke atas harta tersebut.

Jabatan kehakiman bersetuju tindakan menggugurkan tuntutan bukanlah pengakuan terhadap sebarang kesalahan atau liabiliti

Jabatan Kehakiman merampas saham Jho Low berdasarkan tuduhan bahawa ahli perniagaan itu membelinya dengan wang yang dicuri daripada 1MDB milik Malaysia.

Pendakwa mendakwa Jho Low melakukan konspirasi dan pengubahan wang haram tahun lepas yang mempunyai kaitan dengan rompakan dana 1MDB.

Jabatan ini telah berusaha untuk merampas aset bernilai hampir AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh secara haram melalui wang yang dialihkan dari 1MDB.

Aset lain termasuk kapal layar mewah Equanimity dan karya seni oleh Pablo Picasso dan Jean-Michel Basquiat.

Beberapa hari lalu, peminjam-peminjam berpotensi baharu Park Lane Hotel telah dimaklumkan tentang perubahan pemilikan hotel, yang belum dilaporkan sebelum ini.

Mubadala, Kumpulan Witkoff dan rakan-rakan mengupah pasukan hutang Newmark Knight Frank yang diketuai oleh Dustin Stolly dan Jordan Roeschlaub untuk membiayai semula hotel yang mempunyai 631 bilik itu, menurut satu dokumen yang dilihat oleh Bloomberg News.

Dokumen itu menunjukkan kumpulan berkenaan sedang mencari pinjaman berjumlah AS$ 600 juta .

Rakan Mubadala dan Witkoff di Park Lane Hotel adalah pengurus Hotel Highgate LP dan New Valley, anak syarikat Vector Group Ltd.

Menurut dokumen itu, hasil pembiayaan itu akan digunakan untuk membayar pinjaman yang ada serta pengubahsuaian.
Nilai tanah dianggarkan lebih daripada AS$1 bilion dan hotel itu sendiri mewakili “peluang komersil yang terakhir yang merangkumi Central Park South.”

Park Lane Hotel telah dibangunkan pada tahun 1967 oleh jutawan Harry Helmsley dan dimiliki oleh amanah keluarga Helmsley sehinggalah ia dibeli oleh Witkoff dan entiti yang berkaitan dengan Jho Low pada tahun 2013 pada harga AS$ 654 juta.

Kemudian pada tahun itu, Mubadala membayar Jho Low sebanyak AS$135 juta untuk memiliki sebahagian daripada kepentingan di hotel tersebut. – MalaysiaGazette