Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Kelab Felda United untuk melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM1,327,918.80 kepada enam pemainnya.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub dalam satu kenyataan berkata, Felda United perlu menjelaskan tunggakan gaji dan bayaran-bayaran lain seperti jumlah dinyatakan (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Beliau memaklumkan sekiranya Felda United gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, apa-apa deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa-apa sahaja kewangan Felda United yang masih berbaki di FAM, akan dibayar terus kepada kesemua pemain berkenaan.

Felda United masih berhutang kepada Ahmad Syamim Yahya sebanyak RM259,591.20; Mohd Farizal Harun (RM167,491.40); Muhammad Azreen Zulkafali (RM38,930.70); Muhammad Hadin Azman (RM193,000); Muhammad Shukor Adan (RM390,681.90) dan Wan Zack Haikal Wan Nor (RM278,223.60).

Kelab Liga FAM, Hanelang FC pula diarahkan melunaskan tunggakan gaji kepada empat bekas pegawainya iaitu Ahmad Yusoff (RM105,000); Muhammad Iftiqar Ahmad Termizi (RM27,000); Syed Azla Syed Muhamad (RM30,000); Tengku Alias Tengku Ibrahim (RM48,000), selain tunggakan gaji sebanyak RM14,000 kepada bekas pemainnya, Reeshafiq Alwi .

Mohd Joehari juga berkata, Juara Piala FAM 2018, Terengganu City FC, perlu menjelaskan tunggakan gaji sebanyak RM191,000 kepada 10 pemainnya.

Pasukan berkenaan dilaporkan masih gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada Mohamad Zahier Abu Sahit sebanyak RM12,000; Jasmir Mehat dan Lee Yong Cheng (masing-masing RM16,000); Rusmanizam Roseland (RM18,000); Mohd Dzaiddin Zainuddin; Mohd Hafiszuan Salehuddin dan Shafuan Adli Shaari (masing-masing RM20,000); Reeshafiq Alwi (RM21,000); Mohd Rahizi Mohd Rasib dan Muhammad Sabri Adam (masing-masing RM24,000).

FAM turut meminta pasukan berkenaan untuk membayar tunggakan gaji sebanyak RM42,000 (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dan tunggakan elaun perumahan sebanyak RM6,000 kepada bekas jurulatihnya, Anuar Jusoh dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula diarahkan menjelaskan tunggakan gaji masing-masing sebanyak RM24,000 kepada dua bekas pemainnya iaitu Hazrol Ahamed dan Mohammad Fazil Abd Rahim selain tunggakan sebanyak RM42,000 kepada bekas penolong jurulatih, Muhammad Khalid Jamlus.

Mohd Joehari berkata, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pula diarahkan melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM23,000 kepada Famirul Asraf Sayuti dan sebanyak RM29,000 kepada Mohd Alafi Mahmud.

Kuantan FA pula diarahkan untuk membayar tunggakan gaji sebanyak RM39,600 kepada bekas pemainnya, Mohammad Fazil Abd Rahim.

Mohd Joehari menegaskan sekiranya kesemua pasukan berkenaan gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, sebarang deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa-apa sahaja kewangan mereka yang masih berbaki di FAM, akan dibayar terus kepada kesemua pemain terlibat.

Beliau berkata perkara berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi jika sumber kewangan yang dinyatakan di atas masih tidak mencukupi.

Kesemua keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM yang bersidang pada 1 Februari lepas. – MalaysiaGazette