Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Harga runcit petrol RON97 naik empat sen seliter kepada RM2.27 bagi tempoh 9 Februari sehingga 15 Februari manakala RON95 pula naik kepada RM1.97 seliter berbanding RM1.93 seliter sebelum ini.

Menurut Kementerian Kewangan, harga diesel bagi tempoh tersebut dikekalkan kepada RM2.18 seliter.

“Harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$60 setong kepada AS$62 setong bagi petrol RON95 dan daripada AS$72 setong kepada AS$73 setong bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini telah menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran itu sepatutnya menyebabkan harga runcit diesel di bawah formula APM dinaikkan sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.18 seliter kepada RM2.19 seliter.

Bagaimanapun, bagi menstabilkan harga runcit diesel pada paras RM2.18 seliter sekiranya harganya melebihi paras itu, harga  runcit  diesel  bagi  tempoh  9  Februari  2019  sehingga  15 Februari 2019 adalah dikekalkan. -MalaysiaGazette