Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada media semasa hadir pada Gimik Perasmian Pesta Demokrasi di The Square Publika, Sri Hartamas, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Prestasi kontraktor dan proses pembinaan jambatan yang sepatutnya menghubungkan Jalan Bangi Lama dan laluan Kuala Lumpur-Seremban akan dinilai semula.

Ini kerana menurut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Kontraktor yang bertanggungjawab membina semula jambatan di Semenyih itu diyakini  mempunyai pebagai isu menyebabkan projek tersebut tergendala sejak empat bulan yang lalu. 

Beliau dalam masa sama berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kenyataan berhubung perkara ini dalam masa terdekat. 

“Saya dah rujuk pada JKR, JKR akan keluarkan kenyataan segera bukan sebab PRK (Pilihan Raya Kecil) Semenyih, tapi ini melihat apakah proses pembinaan. Saya pasti projek itu ada pelbagai isu, salah satu pastinya kontraktor yang dipilih tidak menjalankan tugas dan mungkin isu kewangan.

“Saya nak tengok prestasi syarikat atau kontraktor yang dipilih oleh JKR dulu mungkin mereka kurang berkesan atau sebagainya,” katanya kepada pemberita. 

Amirudin menafikan apa juga pengumuman berkaitan jambatan itu dalam masa terdekat bukan bertujuan  meraih sokongan pengundi di situ menjelang PRK Semenyih. 

Untuk rekod tinjauan MalaysiaGazette di Semenyih baru-baru ini mendapati majoriti penduduk meluahkan rasa kesal dan tidak berpuas hati apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk akubat projek pembinaan semula jambatan yang tergendala selepas PRU-14 Mei yang lalu. 

Projek itu terdahulunya diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) pada 24 Mac 2018 dan sepatutnya dijangka siap pada Jun tahun ini namun nampaknya tidak diteruskan.-MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Bila lagi mahu siapkan jambatan baharu Semenyih?

Artikel berkaitan: 

TERKINI : KERAJAAN BERTUKAR! Pengundi Semenyih Kesal Pembinaan Jambatan Terhenti