Lakaran artis wajah baharu R&R yang bakal dilakukan oleh PLUS Malaysia.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memulakan projek wajah baharu di lima Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) miliknya dalam beberapa tahun akan datang.

Projek itu akan dilaksanakan dengan kolaborasi bersama Nawawi Tie Leung (NTL), sebuah syarikat perunding hartanah terkemuka.

PLUS beraspirasi untuk menawarkan keselesaan bertaraf dunia kepada pelanggan ketika berada di R&R menerusi projek naik taraf secara total, meliputi reka bentuk dan lain-lain.

Ia bagi memastikan R&R PLUS lebih selamat, lebih selesa, lebih lestari serta menepati citarasa pelanggan lebuh raya masa kini.

2_PLUS RSA rejuvenate_inside view
Lakaran artis reka bentuk R&R PLUS yang lebih moden.

Pengendali lebuh raya terbesar itu mahu menambah beberapa ciri yang inovatif dan lebih moden terhadap dekorasi dalaman R&R termasuklah mengadaptasikan teknologi hijau dan keselesaan ruang dalam usaha menjadikan R&R lebih mesra pelanggan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berharap berkolaborasi bersama firma pembinaan dan perunding yang berkualiti dapat mencapai matlamat R&R.

Katanya, NTL yang merupakan syarikat perunding untuk projek menaik taraf R&R Seremban (arah selatan) telah memainkan peranan yang penting dalam merangka konsep serta reke bentuk keseluruhan.

Dengan kerjasama dan sokongan perunding bertaraf antarabangsa iaitu Lead 8, tambah beliau, R&R Seremban (arah selatan) yang baharu bakal muncul sebagai sebuah R&R yang moden dan ikonik serta menjadi tanda aras bagi R&R lebuh raya di masa yang akan datang. – MalaysiaGazette