Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak amat sedih apabila skim Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 setahun kepada veteran-veteran tentera Angkatan Tentera Malaysia dihentikan.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh menjarah sebanyak RM82 bilion dari Petronas dan melaksanakan Bajet 2019 dengan perbelanjaan lebih besar.

Kerajaan juga mampu memberi peruntukan untuk sekolah swasta yang kaya dan menyumbang RM1 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang untuk projek lebuh raya termahal dalam sejarah Malaysia.

Tetapi kerajaan tidak mampu menyediakan sebanyak RM53 juta untuk veteran tentera tidak berpencen.

“Dan ini (RM1,200) bukan setiap bulan. Hanya sekali setahun,” katanya yang kecewa dengan nasib yang menimpa veteran ATM.

Menurutnya, selepas mereka dihasut dan dipergunakan oleh PH sebelum PRU14, golongan itu kini diketepikan.

Bukan itu sahaja, veteran-veteran yang tidak berumahtangga juga tidak lagi mendapat Bantuan Sara Hidup, selain
kenaikkan gaji dan elaun tambahan mereka yang juga didakwa telah dinafikan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau pernah menjadi Menteri Pertahanan dan amat faham tentang susah payah dan pengorbanan tentera.

“Mereka berkorban masa, nyawa dan meninggalkan keluarga untuk menjaga kita. Demi untuk memastikan kita lena tidur di malam hari. Menjaga sempadan, tanpa rungutan dan keluh kesah.

“Sebab itulah saya perkenalkan Bantuan Bakti Negara (BBN) untuk veteran-veteran tentera tidak berpencen demi menghargai jasa pengorbanan mereka. Tetapi PH telah mansuhkan,” ujarnya yang meminta kerajaan tidak melupakan hasa veteran tentera. – MalaysiaGazette