KUALA LUMPUR – Progres penjualan kapal mewah Equanimity berjalan dengan baik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Burges, Jonathan Beckett.
Burges yang dilantik sebagai agen untuk menjual kapal tersebut.
Jonathan dalam wawancara di laman sesawang syarikat berkenaan berkata, banyak pihak telah melawat kapal itu dan mempertimbangkan tawaran harganya.
Beliau mengakui jualan kapal Equanimitu memang mengambil masa.
“Penjualan kapal dalam sektor ini tidak pernah menjadi proses yang pantas.
“Terdapat satu atau dua kapal pada nilai ini dijual di peringkat global setiap tahun dan secara tipikalnya ia mengambil masa antara 12 hingga 24 bulana untuk menjual kapal seunggul ini,” kata Jonathan.
Jadi, tidak ada yang luar biasa mengenai kerangka waktu memandangkan kapal layar itu hanya berada dalam pasaran sejak tiga bulan iaitu sejak akhir Oktober 2018.
Mengulas mengenai harga tawaran Equanimity sebanyak AS$130 juta, katanya, ia adalah munasabah.
Harga panduan untuk penjualan kapal itu telah ditetapkan daripada penilaian formal oleh Winterbothams, berdasarkan kepada tinjauan penuh keadaannya.
“Kami fikir ia adalah harga panduan yang sangat munasabah memandangkan kualiti kapal layar itu dan kerajaan Malaysia telah menyatakan bahawa mereka akan mempertimbangkan semua tawaran ‘sembilan angka’.
“Ini menjadikan Equanimity sebuah kapal layar yang mesti dipertimbangkan sebagai pilihan utama bagi sesiapa yang melihat sektor pasaran ini,” ujar Jonathan yang menyifatkan Equanimity sebagai kapal layar yang berada pada kedudukan teratas untuk jualan di dunia pada masa ini.
Tambahnya, kapal dari utara Eropah itu juga telah diselenggara dengan baik.
Seramai 21 orang profesional kru di bawah penyeliaan firma pengurusan pakar kapal ditugaskan mengendalikan Equanimity. – MalaysiaGazette