Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

PULAU PINANG – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengorbankan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga apabila terpaksa berlepas ke Jepun untuk menguruskan hutang negara.

Nanyang Siang Pau melaporkan, Guan Eng telah berlepas ke Jepun pada hari Rabu iaitu hari kedua Tahun Baharu Cina untuk berbincang tentang penawaran bon Samurai.

Selain mengemuka laporan mengenai bon tersebut, Guan Eng juga akan memuktamadkan rundingan dengan kerajaan dan agensi pelaburan di Jepun.

“Pinjaman ini dipercayai merupakan bantuan kewangan antarabangsa terbesar selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara,” demikian lapor Nanyang Siang Pau.

Difahamkan, Guan Eng hanya berada di Tokyo secara singkat iaitu selama 36 jam sebelum kembali ke tanah air.

Kerajaan Jepun sebelum ini bersetuju memberi jaminan terhadap penerbitan bon Samurai bernilai 200 bilion yen (RM7.4 bilion) oleh kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun lalu berkata, tawaran jaminan penerbitan bon Samurai oleh kerajaan Jepun akan memberi banyak faedah kepada negara terutama dalam mengurangkan beban kewangan dan dalam soal pembangunan.

Katanya, bon termurah dengan kadar faedah hanya 0.65 peratus adalah lebih baik berbanding hutang lama yang terpaksa ditanggung dengan faedah sehingga tujuh peratus. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 

Bon Samurai banyak faedah untuk negara

Artikel berkaitan: Pelabur yakin dengan Malaysia – Guan Eng