Mohd Sany Hamzan
Mohd Sany Hamzan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN) mengecam sekerasnya insiden pembakaran Jalur Gemilang oleh warga Filipina, Elly Pamatong.

Perbuatan lelaki itu yang mendakwa dirinya sebagai pemimpin United States Allied Freedom Fughters of the East adalah bersifat menghina maruah negara, yang mana Jalur Gemilang adalah simbol kebangsaan negara.

Jelas Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan, tindakan itu mampu mengganggu keharmonian dan hubungan kerjasama erat antara Malaysia dan Filipina selaku rakan anggota ASEAN.

Ujar beliau, pembakaran bendera yang dibuat bagi membantah bantuan tentera pengaman Malaysia di Mindanao sangat keterlaluan dan tidak seharusnya menjadi cerminan keadaan sebenar hubungan kedua-dua negara.

Katanya, kestabilan serantau adalah tanggungjawab bersama negara anggota ASEAN dan bantuan dihulurkan Malaysia bagi memastikan keamanan di wilayah Mindanao.

“Ia seharusnya dilihat sebagai usaha bagi memastikan kestabilan jangka masa panjang di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Mohd Sany, Pemuda PAN menyambut baik kenyataan Kementerian Luar Negara yang mengecam keras insiden itu.

Diharapkan kementerian itu dapat memaksimakan saluran diplomatik termasuk memanggil Duta Filipina bagi menyatakan bantahan keras terhadap insiden tersebut.

Katanya, kerajaan Malaysia perlu mendapatkan komitmen dari kerajaan Filipina untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam insiden itu.

“Pemuda PAN ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menimbulkan kekacauan yang boleh mengganggu gugat hubungan erat antara rakan anggota ASEAN demi memastikan kestabilan berpanjangan di rantau Asia Tenggara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan