Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa defisit kerajaan bawah Pakatan Harapan (PH) sejak Mei hingga Disember 2018 dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2017 ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Menerusi Facebook rasmi beliau, bekas Perdana Menteri keenam itu memberitahu data Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan kerajaan pada Mei-Disember 2018 adalah RM187.31 bilion, berbanding RM171.65 bilion untuk tempoh sama pada 2017.

Menurutnya, pendapatan kerajaan pula pada tempoh itu untuk 2018 adalah RM161.26 bilion dan RM158.45 bilion untuk tempoh sama pada 2017.

“Ini bermakna defisit di bawah PH, iaitu RM26.05 bilion, untuk tempoh 8 bulan ini kira-kira lebih satu kali ganda berbanding defisit RM13.2 bilion untuk tempoh sama di bawah BN pada 2017.

“Ini walaupun mereka telah menjarah RM26 bilion daripada Petronas untuk tahun ini (menerusi dividen khas),” tulisnya.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan turut mendakwa peningkatan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM16 bilion berbanding tempoh sama pada 2017 sebagai mencurigakan, memandangkan ada banyak potongan dalam belanjawan.

“Di mana perginya perbelanjaan ini pula? Untuk siapa? Mengapa lebih tinggi?” soal beliau.

Najib berkata, menurut data Bank Negara lagi, kerajaan mencatatkan jumlah defisit RM52.7 bilion untuk seluruh 2018, berbanding RM40.3 bilion pada 2017.

Beliau berkata, PH gagal menunaikan janjinya untuk menurunkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 20 peratus melalui pengurangan “rasuah, pembaziran dan penyelewangan”.

“Saya rasa Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak akan jawab kerana dia sudah kata malas untuk jawab saya walaupun isu defisit meningkat satu kali ganda adalah isu besar untuk rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette