Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) bersama Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi (kanan) ketika mempegerusikan Mesyuarat Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di Command Center Barisan Nasional PRK N. 24 Semenyih, Taman Pelangi Semenyih 2, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Hasrat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mengganggu gerak kerja untuk memulihkan parti itu khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebaliknya berkata, malah hasrat presiden UMNO itu boleh melicinkan usaha parti untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada bekas parti pemerintah itu.

“(Ahmad Zahid) tidak mengganggu pun kerja kita (pulihkan parti) walaupun untuk kita sedang sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya.

“Kehadiran beliau juga akan melicinkan usaha kita memulihkan UMNO dan BN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO bersama Dewan Pemuda Pas Pusat, Pemuda Berjasa dan Pemuda Ikatan di Bilik Gerakan BN Semenyih, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang menyatakan hasratnya dan bersedia untuk kembali memimpin UMNO dan BN selepas bercuti daripada semua tugas sejak akhir tahun lalu.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan kembali ke arena politik selepas peristiwa besar yang dijangka berlaku di negara tidak lama lagi.

Ahmad Zahid pada Disember lalu mengambil keputusan untuk bercuti dan menyerahkan tugas-tugas presiden UMNO kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau bertindak demikian atas desakan ahli partinya yang mahu beliau meletak jawatan selepas beliau didakwa dengan 45 tuduhan di mahkamah.

Tuduhan itu membabitkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan lebih RM114 juta. Zahid pada masa ini dibebaskan dengan ikat jamin. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan