anjing
Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan akibat digigit anjing peliharaan daripada baka pemburu “plott hound” milik bapa saudara mangsa di Bachang Selasa lalu.- Gambar hiasan

IPOH – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Larut Matang dan Selama akan memastikan kanak-kanak lelaki yang digigit anjing pada Khamis lalu mendapat dos lengkap vaksin rabies dengan dos keempat pada 21 Februari ini.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, keadaan kesihatan Muhammad Raqib Rayyan Mohammad Nazri, 5, kini stabil setelah dimasukkan ke wad Hospital Taiping dan diberikan rawatan termasuk mengeluarkan tisu yang rosak dan bendasing pada luka atau ‘debridement’ dan vaksin rabies.

Dr Ding berkata, anjing yang menggigit mangsa telah dilupuskan oleh pemiliknya iaitu jiran mangsa.

“Sampel daripada bangkai anjing berkenaan telah diambil oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk ujian oleh Institut Penyelidikan Veterinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Raqib cedera di betis kaki kanan selepas digigit seekor anjing ketika bermain dengan beberapa rakannya di Kampung Air Kuning di sini, pada pukul 1.30 tengah hari Khamis.

Pada 14 Januari lalu, mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama diwartakan sebagai kawasan jangkitan anjing gila atau rabies susulan aduan daripada pemilik anjing bahawa dua anggota keluarganya digigit di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping pada 31 Disember lepas. – Bernama