Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Penutupan bazar musim perayaan di Jalan Tun Abdul Rahman (TAR) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak lebih satu penganiayaan kepada peniaga Melayu.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan, tidak sewajarnya semua peniaga Melayu itu dihukum hanya kerana segelintir yang menjual lesen perniagaan kepada warga asing.

“Di kala Bersatu melaungkan ‘Kepentingan Melayu akan kami jaga’, rakan karibnya, Amanah pula terus membuli peniaga Melayu.

“Bazaar Ramadan setahun sekali untuk orang Islam mencari rezeki, dibuli oleh pemimpin Amanah, tidak ada ke jalan lain selain daripada penutupan ini?

“Memang benar, ada orang Melayu tidak bertanggungjawab, tapi ianya hanya 10 hingga 30 peratus sahaja, dan mereka ini memamg sepatutnya dikenakan tindakan.

“Tapi kenapa Pakatan Harapan menghukum semua peniaga bazaar kerana sikap segelintir peniaga Melayu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad semalam yang akan menghentikan bazar perayaan di Jalan TAR sebagai langkah pemutihan kepada isu penyalahgunaan lesen perniagaan kepada warga asing.

Ia susulan daripada kebanjiran gerai warga asing di ibu kota khususnya dalam bazar musim perayaan di Jalan TAR yang menjadi tarikan khususnya umat Islam bagi persiapan Aidilfitri saban tahun.

Mohd Razlan juga meminta Khalid tidak pilih bulu dalam melaksanakan penguatkuasaan lesen perniagaan sedangkan gerai-gerai perniagaan warga asing di Jalan Petaling seolah-olah dilindungi tanpa sebarang tindakan.

“Kita semakin heran, kenapa bazar Ramadhan setahun sekali, Khalid mengambil keputusan begitu drastik dan begitu teruja menghukum orang Melayu?

“Cuba Khalid pergi ke Jalan Petaling, yang meniaga bukan Cina, semua Bangladesh, kenapa Khalid takut nak tutup Jalan Petaling? Perniagaan di sana setiap hari, bukan setahun sekali!” tegasnya.

Katanya lagi, Kementerian Wilayah Persekutuan perlu bersikap adil kepada semua kaum tanpa menunjukkan sikap berat sebelah apabila lebih gemar menghukum orang Melayu yang berniaga secara kecil-kecilan di bandar.

“Saya nasihatkan kepada Kementerian Wilayah, bersikap adilah kepada orang Melayu di bandar, jangan double standard dan letak Melayu di kaki dalam pentadbiran anda.

Sekiranya mahu mengambil apa-apa keputusan, fikir panjang tentang masa depan dan periuk nasi rakyat, bukan semberono tanpa melihat punca rezeki mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Razlan, yg ada pd kamu skrang, tak lain juara ‘Melayu’ ala UMNO.

    Teruskan sj, ramai kenal siape kamu dulu.

Comments are closed.