Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersama Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi (empat kanan) bergambar kenangan bersama exco pemuda UMNO dan PAS yang lain ketika sesi sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di Command Center Barisan Nasional PRK N. 24 Semenyih, Taman Pelangi Semenyih 2, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini sebulat suara menubuhkan jawatankuasa khas untuk mewujudkan kerjasama politik di antara blok parti pembangkang khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama yang melibatkan Pemuda Ikatan dan Pemuda Berjasa untuk memperkukuhkan kerjasama di samping menyelaras program dan ceramah sepanjang kempen pilihan raya nanti.

“Kita bersetuju dalam beberapa perkara dasar berkenaan dengan kerjasama yang perlu kita pertingkatkan terutamanya nak merealisasikan hasrat kepimpinan tertinggi untuk memperkukuhkan blok pembangkang dalam berdepan dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa khas yang akan memperincikan dari segi program, gerak kerja bersama sebagai pembangkang untuk kita memperkukuhkan kerjasama dalam menangani pelbagai isu yang berkepentingan rakyat.

“Ini kerana hari ini kita melihat bahawa terlalu banyak penipuan, isu-isu yang tidak dihiraukan oleh Kerajaan PH setelah mereka berkuasa yang perlu ditangani dan diperjuangkan oleh barisan pemuda-pemuda secara berani, konsisten dan istiqamah,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan BN Semenyih, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat khas antara Pergerakan Pemuda UMNO, Dewan Pemuda Pas Pusat, Pemuda Ikatan dan Pemuda Berjasa bagi menghadapi pilihan raya di kerusi N24 Semenyih pada 2 Mac ini.

Asyraf Wajdi juga berkata, kerjasama dalam jawatankuasa khas itu merupakan satu kesinambungan daripada persefahaman dan usahasama UMNO dan Pas dalam PRK Cameron Highlands pada 26 Januaari lalu.

“Kami sepakat meneruskan kerjasama yang cukup baik dalam PRK Cameron Highlands bukan sekadar beraksi di pentas ceramah tetapi kita akan selaraskan gerak kerja ini sehingga ke peringkat jentera yang akan bekerja secara bersama di semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) seluruh DUN Semenyih ini.

“Kita akan menggerakkan gerak kerja di peringkat media sosial atau media baharu kerana kita akan lebih banyak buat program bukan sahaja ceramah secara konvensional tapi ceramah-ceramah dalam bentuk Facebook Live khususnya forum bersama Pemuda UMNO, Pemuda Pas, Pemuda Ikatan dan Pemdua Berjasa,” katanya.

Katanya lagi, menjelang PRK Semenyih ini, Pemuda UMNO bersama tiga sayap parti pembangkang lain akan berkampung sepanjang tempoh berkempen bermula 16 Februari ini.

“Kita akan semarakkan dalam pelbagai bentuk program yang mendekati anak muda kerana mereka ini dari segi demografi ada pelbagai, ada dari kawasan kampung, sehinggalah menengah atas dalam kalangan profesional.

“Ada juga kakitangan kerajaan yang perlu kita dampingi dan memberikan pelbagai pencerahan berkenaan isu semasa pada hari ini,” katanya.

Beliau turut berkata, bagi memastikan calon BN memperoleh majoriti besar, pihaknya akan memastikan ahli-ahli UMNO, Pas, Ikatan, Berjasa akan turun mengundi pada 2 Mac ini.

“Kita akan memastikan seramai mungkin mereka yang tidak berparti terutamanya rakyat  yang tidak terikat dengan mana-mana parti untuk bersama-sama mendokong calon BN yang bakal ditentukan nanti.

“Kita akan menzahirkan keresahan rakyat terhadap segala kepincangan, penipuan dan ketidakjujuran Kerajaan PH terutamanya kemarahan rakyat terhadap segala janji kosong yang dilakukan oleh Kerajaan PH termasuk isu berkaitan dengan isu integriti yang mula dipersoalkan,” katanya. – MalaysiaGazette