Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Pakatan Harapan (PH) akan terus menjadi pilihan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sekiranya slogan ‘politik khidmat’ dijadikan teras.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menghormati jalinan kerjasama antara Barisan Nasional dan Pas, namun apa yang penting ialah PH terus berkhidmat kepada rakyat.

“Tetapi selagi kita berkhidmat pada rakyat dan slogan ‘politik khidmat’ dijadikan dasar PH, InsyaAllah rakyat tetap bersama PH.

“Tak perlu remeh temehkan mereka (UMNO dan Pas) dan juga kita kuat serta boleh terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang Semenyih, di sini petang tadi.

Syed Saddiq berkata demikian selepas menyertai acara berbasikal Fun Ride bersama 80 peserta di sini hari ini.

Ditanya mengenai calon PH pada PRK DUN itu, Syed Saddiq berkata, beliau menyerahkannya kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sesiapaun yang dicalonkan, Armada dan pemuda PH akan sokong tidak berbelah bahagi,” katanya sambil mengharapkan calonnya dalam kalangan pemuda.- MalaysiaGazette