Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawainya yang cuba mengambil kesempatan di atas pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata,ia melibatkan aduan melibatkan tugas yang dijalankan secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan.

Beliau juga menegaskan tidak ada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai yang berkuatkuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia iaitu masih menggunakan struktur penalti yang sama.

“Tindakan perubahan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan bertopeng muka sebelum ini (operasi National Revenue Recovery Enforcement Team atau NRRET).

“Satu e-mel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDNM untuk menggantikan surat edaran PKPS sebelum ini agar tidak timbul sebarang salah faham lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng juga memberitahu, Kementerian Kewangan telah menerima banyak pertanyaan daripada individu yang telah menerima surat dan e-mel daripada LHDN berkaitan dengan PKPS.

Beliau menjelaskan mereka yang menerima surat atau e-mel berkenaan daripada LHDN tidak perlu resah sekiranya tidak mempunyai akaun bank di luar negara.

Menurutnya, pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara boleh membuat pelaporan secara sukarela sekiranya terdapat pendapatan yang disimpan di dalam akaun bank luar negera yang sumbernya diperolehi daripada pendapatan yang diterima daripada Malaysia tetapi belum dilapor atau dikenakan cukai.

“Sekiranya pendapatan ini telahpun dilapor kepada LHDN atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, maka segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

“Prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam di peringkat antarabangsa, di mana butiran lanjut tentang pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara tersebut.

“Di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani oleh lebih 100 negara, LHDN telah mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai bulan September 2018.

Guan Eng memberitahu, dalam erti kata lain, PKPS menawarkan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang ada akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDNM.

Jelas beliau, pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta dalam e-mel atau surat LHDNM untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDNM.

“Pihak Kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 pertaus sekiranya dilaporkan sebelum 31 Mac 2019 atau 15 peratus jika dilaporkan antara 1 April 2019 sehingga 30 Jun 2019,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai PKPS, boleh mengunjungi Pejabat LHDN yang berhampiran; hubungi Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); e-mel pertanyaan kepada: [email protected]; atau hubungi pegawai-pegawai khas kepada Menteri Kewangan yang berikut Datuk Ooi Kok Seng (012-4868838), Muhammad Sadiq bin Noor Azlan (011- 12170764), atau Chew Khai Yen (019-7705695). – MalaysiaGazete