Etnik Uighur
Etnik Uighur di wilayah Xinjiang berdepan tekanan dan layanan buruk Kerajaan China. foto AP

ANKARA – Turki menggesa China menutup kem tahanannya selepas seorang ahli muzik terkenal daripada etnik Uighur dilaporkan meninggal dunia.

Abdulurehim Heyit difahamkan telah menjalani hukuman lapan tahun di Xinjiang, yang mana sehingga satu juta orang Uighur dilaporkan ditahan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Turki sambil menyatakan tahanan telah menjalani “penyeksaan” di “kem tahanan”.

Jurucakap kementerian itu, Hami Aksoy berkata: “Bukan rahsia lagi bahawa lebih daripada satu juta orang Uighur Turki terdedah dengan penangkapan sewenang-wenangnya, mereka diseks, dipenjara dan mereka yang tidak ditahan pula dikenakan tekanan yang hebat.

“Pengenalan semula kem-kem tahanan pada abad ke-21 dan dasar asimilasi sistematik pihak berkuasa China terhadap Uighur Turks sangat memalukan bagi kemanusiaan,” kata Aksoy.

Beliau juga berkata, laporan kematian Heyit “memperkuat reaksi awam Turki terhadap pelanggaran hak asasi manusia berlaku secara serius di Xinjiang”.

Malah, Turki mendesak Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres “untuk mengambil langkah-langkah berkesan bagi menamatkan tragedi manusia” di sana.

Sementara itu, Beijing tidak dapat menerima sepenuhnya kenyataan berkenaan.

Uighur adalah minoriti Islam yang berbahasa Turki, berpusat di barat daya Xinjiang di China, yang telah berada di bawah pengawasan ketat oleh pihak berkuasa China.

Bahasa pertuturan mereka dekat dengan Turki dan sejumlah besar Uighur telah melarikan diri ke Turki dari China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Setakat ini, hanya beberapa negara majoriti Islam telah menyertai kecaman antarabangsa berhubung penyeksaan minoriti Uighur di kem tahanan China.

Ini kerana, para penganalisis berkata, kebanyakan negara Islam bimbang tindakan balas politik dan ekonomi dari China. – MalaysiaGazette