Dalam sibuk bersukan pun, Khalid sempat menyindir Pas dalam ciapan Twitternya
Dalam sibuk bersukan pun, Khalid sempat menyindir Pas dalam ciapan Twitternya

KUALA LUMPUR – Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan memberi tumpuan kepada tugas hakiki sebagai ketua sesebuah kementerian, bukan asyik berbalas tweet dengan musuh politik.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, beliau melihat dan memerhati sikap sesetengah menteri dan pemimpin parti dalam PH agak mengecewakan.

Katanya, ada menteri PH kebelakangan ini asyik berbalas komen dalam laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram masing-masing sehingga menampakkan kejanggalan mereka.

“Rasanya kenyataan begini agak biasa pada level pembangkang, tapi kalau dah level menteri bukan saja janggal, langsung tak ada kelas.

“Elok buat kerja hakiki betul-betul, jangan asyik berbalas tweet nak tunjuk hebat. Tak hebat pun.. agak-agak lah,” tulis beliau dalam ciapan Twitternya hari ini.

Faekah berkata demikian merujuk ciapan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dalam akaun Twitter beliau kelmarin berhubung keputusan Pas menyelesaikan kes saman Sarawak Report di luar mahkamah.

Dalam ciapan itu, Khalid secara bergurau menulis, “Permainan tradisional ‘Tarik upih’ di program ‘Putrajaya’s Parks day’. Isteriku yang duduk atas upih. Tarik upih takpe. Jangan tarik saman.. Tarik kes supaya dilewatkan pun memalukan! Seronok kerana saya masih mampu tariknya. “Taklah berat sangat” katanya. Boss hang boleh?” demikian tulis Khalid.

Status itu turut menerima komen negatif daripada warganet yang rata-rata menyifatkan Khalid sebagai seorang pemimpin bertaraf rendah, berikutan statusnya dalam laman sosial yang tidak sepadan dengan tarafnya sebagai menteri.

Seorang warganet, Amirapis Haiqal @amirapis meninggalkan komen, “Lawak bodo ke hang mmg (memang) bodo? Tak de value langsung Lid (Khalid),” tulisnya.

Suhail pula berkata, tarik upih tidak apa, tetapi jangan menipu manifesto dan kelulusan sehingga membodohkan diri sendiri. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan